Thursday, July 12, 2012

NAFAS : Bab 25

Bab 25

Aku telah mengambil cuti selama empat hari berturut-turut setelah Amir pulang ke pangkuanku. Bila hari-hari cuti itu dicampur dengan pelepasan hujung minggu, maka hampir seminggu aku dan Amir bersama melepaskan rasa rindu dendam kami bersama.
Dan selama kami bersama; hatinya, makan minumnya, batinnya telah ku jaga dengan rapi. Kami hampir-hampir tidak mahu keluar dari kamarku pada waktu-waktu ini, kecuali untuk keluar makan dan bersiar-siar.
"Honeymoon nampak," Ujar Rezal sambil mencuit bahuku tatkala aku sedang memasak mee goreng untuk Amir.
"Biasalah... kenapa, tak boleh ke?" Tanyaku yang sedang bercakap di sebelah Rezal sambil mataku tidak berkelip.
"Ye lah... tapi takkanlah sampai tak keluar bilik pulak, nok." Rezal berdebat dengan aku.
Aku mengetapkan gigiku. Sambil berkata:
"Biasalah... pengantin baru!"
"Kau nih... sampai bila kau nak jadi pengantin baru? Kalau kau pompuan, entah-entah anak nak masuk umur setahun!"
Aku menjeling ke arah Rezal sambil menutup api gas di dapur. Aku menyenduk mee goreng yang telah aku masak lalu meletakkannya ke dalam pinggan aku dan Amir. Aku berikan Amir bahagian ayam yang besar-besar dan sedap-sedap sahaja.
Sewaktu aku masuk ke ruang tamu, aku dapati Fadzil sedang berbual-bual kosong dengan Amir. Entah apa sahaja yang sedang dibualkannya. Fadzil menjeling sambil tersenyum kepadaku. Dia membuka sedikit ikatan tali lehernya sebelum dia meminta diri untuk naik ke atas. Dia baru sahaja pulang dari pejabatnya di Amcorp Mall...
Sejak dari mula lagi aku dapat merasakan bahawa Fadzil memang meminati Amir. Sejak kali pertama mereka bertemu beberapa bulan yang lepas, Fadzil memang suka mengajak Amir berbual dengannya. Lebih-lebih lagi kerana Fadzil sendiri pernah menuntut di Amerika Syarikat seperti Amir. Fadzil suka menceritakan kepada Amir tentang pengalamannya belajar di Chicago. Ada sahaja yang mahu dibualkannya tentang Chicago, walaupun dia sedia maklum bahawa Amir sendiri tidak pernah ke sana.
"Abang bual pasal apa bang?" Tanyaku sebaik sahaja Fadzil masuk ke dalam biliknya.
"Dia tanya abang pasal subject computings di MIT." Jawab Amir mencapai pinggannya yang penuh dengan mee yang baru ku masakkan khas untuknya tadi.
"Alah muka macam tu... nak masuk MIT konon." Getusku, sambil menggunakan garpuku untuk bermain-main dengan dengan mee ku itu.
"Kenapa, sayang... jealous ke?" Tanya Amir sambil tersengih.
"Ye lah... memang saya cemburu." Aku mengakui.
"Tak payah jealouslah sayang!" Katanya, lalu mencium dahiku.
Aku menghela nafas panjang.
"Abang buat apa masa saya kerja tadi?" Tanyaku ingin tahu.
"Abang pergi melawat datuk abang di Bukit Tunku."
"Apa katanya?"
"Dia tak sabar nak tunggu abang akhir tahun ini... dia tak sabar nak lihat cucu dia ni kerja di syarikat BumiMas."
"Aha... lepas tu abang boleh jadi boss saya kan?" Tanyaku berseloroh.
"Boleh... lepas tu awak masuk ofis saya pada waktu tengahari... lepas tu kita projek dalam ofis, okay?
"Ish... gatal pulak abang aku sorang nih!" Aku bermonolog sendirian di dalam hati sambil ketawa kecil.
"Kenapa ketawa pulak?" Tanya Amir sambil tersenyum.
"Tak de apa apa. Kalau abang nak jugak projek dengan saya, nanti saya report abang sexually harassed saya.. baru abang tahu!"
Kami berdua ketawa. Walaupun jauh di dalam hatiku, aku masih tidak dapat bayangkan bagaimana keadaannya nanti apabila kami terpaksa bekerja di bawah satu syarikat dengannya nanti. Mungkin tidak ada banyak perkara yang boleh berlaku, memandangkan hampir lapan puluh peratus dari pekerjaanku terpaksa dilakukan di tapak projek. Kerja-kerja Amir pula aku pasti akan dilakukan di pejabat BumiMas di KLCC.

***

Hari itu hari jumaat. Dan seperti biasa, aku berada di tempat kerjaku di tapak binaan di Sri Damansara. Pada pukul 3.45 petang, seorang mandur telah datang menemuiku. Katanya:
"Encik Nizam... Encik Amir sedang menunggu Encik Nizam di pejabat."
Aku telah mengucapkan terima kasih kepada mandur tersebut sebelum aku terus bergegas ke arah keretaku. Aku terus pandu keretaku itu ke pejabat kecil yang terletak di bahagian hadapan tapak binaan ini.
Aku dapati, kereta Poshe yang dipinjam Amir dari datuknya ada di letakkan di sebelah pejabat yang diperbuat dari beberapa bekas kontena yang telah diubah suai itu.
Aku masuk ke dalam pejabat. Topi keselamatan berwarna kuning kepunyaanku, aku keluarkan dari kepalaku lalu ku kepit di tepi ketiakku. Kemudian aku terus berdiri di luar bilik pejabat pengurus. Aku dapati Amir sedang berbual dengan serius dengan pengurus tapak binaan.
Sebaik sahaja Amir terlihatkan bayangku di luar bilik pejabat. Dia terus meminta dirinya dari pengurus tapak binaan. Aku dapati, pengurusku yang berumur setengah abad itu begitu menghormati dirinya. Satu perkara yang tidak pernah aku lihat berlaku selama aku bekerja dengannya. Kerana pengurusku itu terkenal dengan sikapnya yang garang serta bengis kepada pekerja-pekerjanya termasuk aku.
"Saya mahu awak ikut saya keluar." Bisik Amir dengan serius kepadaku. Aku mengekorinya dari belakang tanpa membalas kata-katanya.
"Jangan lupa kirim salam dekat Dato' Abdullah, Encik Amir." Sebut pengurusku kepada Amir sambil menepuk-nepuk bahu Amir.
Di luar, Amir terus ke kereta Poshenya. Tanpa memandang ke mana-mana, dia terus masuk ke dalam keretanya. Aku masuk untuk duduk di sebelahnya.
Amir memandu keretanya laju-laju terus ke dalam tapak binaan. Kerana jalan belum ditar, habuk-habuk berterbangan di bahagian jalan yang dilaluinya. Dia nampak marah-marah.
"Kenapa ni bang?" Tanyaku perlahan. Nadiku bergerak cepat. Berdegup-degup takut.
"Tadi Adi datang ke rumah..."
Tersirap darahku. Barulah kini aku sedar mengapa Fadzil mengambil cuti pada hari ini. Mungkin dia mahu keluar bersiar-siar dengan Adi yang tidak terbang ke mana-mana pada minggu ini. Hubungan Adi dan Fadzil memang rapat.
"Apa yang pondan tu nak?" Tanyaku. Telingaku terasa panas.
Amir tidak menjawab. Dia memberhentikan keretanya. Kami tiba di sebuah kawasan yang baru sahaja siap dibina. Kawasan tersebut kosong.
Amir mengeluarkan sesuatu dari dalam 'glove compartment' keretanya.
"Ini apa?" Dia mencampakkan bag plastik berwarna kuning yang mengandungi sehelai baju dan sepasang seluar. Aku kenal benar dengan apa yang terkandung di dalam bag tersebut. Malah aku sendiri yang telah menyerahkan bag plastik tersebut kepada Fadzil untuk diserahkan kepada Adi. Kerana fikirku, Adi boleh menyerahkan kandungan bag plastik tersebut kepada tuan punya pakaian tersebut.
"Baju--"
"Baju jantan mana ni?" Pintasnya dengan suaranya yang kuat. Terkejut sehingga tersentak aku dibuatnya. Suara Amir memang kuat tatkala menjerit begitu. Sekuat suaraku tatkala memberi arahan berkawat tatkala aku di MTD dahulu.
"Baju abang Zami." Aku beritahunya dengan suara kecil dan takut-takut.
"Abang Zami mana? Siapa abang Zami ni?" Mukanya nampak terlalu marah. Suaranya kuat sehingga membuatkan telingaku berdesing.
Sebelum ini aku tidak pernah menceritakan kepadanya tentang hubunganku dengan abang Zami. Pernah dia menanyaiku berkali-kali tentang hubunganku dengan kekasih lamaku... tetapi aku telah memintanya supaya jangan menanyaiku lagi tentang hal ini. Selama ini dia telah menghormati pendirianku ini.
"Ex saya..." Kataku perlahan.
Kepalaku mula terasa sempit.
"What the fuck happened?" Rengus Amir sekuat hati.
"Tidak ada apa-apa yang terjadi--" Degupan nadiku semakin kencang.
"Then how the fuck did his stuffs get into your place?"
"Saya bawak dia balik--"
Amir mula mengamuk. Dia keluar dari keretanya.
"What is wrong with you?" Cermin matanya hampir mahu terjatuh dari mukanya tatkala dia menjerit begitu. Suaranya yang kuat itu berdengung di kawasan perumahan baru itu.
"Sabar lah bang." Ucapku kepadanya. Tanganku menggigil. Topi keselamatanku berwarna kuning yang sedang kupegang terjatuh dari tanganku.
Dengan marah Amir menolakku. Kemudian topi keselamatanku itu disepaknya jauh-jauh. Nafsu amarahnya langsung tidak boleh dikawalnya lagi.
"Jadi betullah kata Adi... you're a slut!" Katanya tanpa berlapis.
"Kenapa abang tuduh saya yang bukan-bukan ni?" Wajahku mula pucat. Aku tak tahu apa akan berlaku lagi.
Duniaku tiba-tiba malap.
"Fadzil told me that you were doing something with a man in your room..."
Amir menghela nafasnya dengan dalam. Nafasnya ku lihat turun naik dengan cepat. "no, correction! In our room!" Amir menolakku lagi. Aku jatuh tersungkur ke atas tanah kerana dia telah menolakku dengan kuat. Aku bangun kembali.
Aku teringatkan kata-kata Majid bahawa dia pernah memukul Farid sehingga berdarah. Aku tidak mahu dipukulnya sehingga begitu. Aku juga tak sanggup dia memaki hamunku tanpa bersebab.
"Saya bawa dia balik kerana--"
"What? What else do you want to deny, bitch? Amir menolakku lagi. Entah mengapa, mungkin aku telah mengikut naluri lelakiku, aku mula melawan. Aku membalas dengan menolaknya kembali.
"You fucking slut! How dare you push me like this?" Amir semakin marah lalu dia ingin menumbukku. Kerana aku pernah di ajar seni mempertahan diri sewaktu belajar di MTD dahulu, aku telah menepis tangannya. Entah mengapa, naluriku kini telah mengambil alih. Aku tak tahu apa yang telah berlaku selepas itu.
Apa yang aku ingat, selepas aku sedar, Amir telah menjerit-jerit kuat menyuruh aku melepaskannya.
Aku dapati, aku telah melipatkan tangan kirinya kebelakang.
Di dalam hati aku mengucap berkali-kali. Aku terus lepaskan tangan Amir.
Amir menoleh ke arahku. Aku dapati hidungnya mula berdarah. Aku sendiri tidak tahu apa yang telah aku lakukan kepadanya tadi. Aku dapati tangan aku sendiri terkena percikkan darahnya. Mungkin di dalam keadaan marahku tadi, aku telah menumbuk hidungnya sehingga pecah.
Amir terus terdiam. Dia nampak sedih. Wajahnya penuh kecewa. Baju polo berwarna putih yang sedang dipakainya mula terkena darahnya sendiri. Aku berjalan dekat kepadanya.
Tanpa berkata apa-apa, Amir masuk ke dalam keretanya lalu dipandunya keretanya itu laju-laju ke jalan keluar.
Fikiranku terus bercelaru. Perkara ini telah berlaku dengan begitu cepat sehingga membuatkan jiwaku tersentak sama sekali. Aku langsung tidak boleh menerima apa yang telah berlaku tadi. Mungkin aku sedang mengalami mimpi buruk di siang hari.
Aku memandang ke arah tangan kananku. Ternyata aku tidak bermimpi, kerana darah Amir masih basah di atas buku limaku.

Selepas kejadian ini berlaku, aku terus keluar dari tapak binaan. Aku pandu keretaku entah ke mana. Lama juga aku pandu keretaku itu.

Azan maghrib mula berkumandang. Aku mula tersedar dari keadaan kusutku. Aku dapati aku sedang berada di sebuah daerah yang baru yang tidak pernah aku lewati. Apabila aku tiba di jalan besar, aku dapati aku sedang berada di sebuah kawasan perumahan di Shah Alam.
Aku memberhentikan keretaku yang mahu kehabisan minyak itu. Aku sekali lagi mengucap. Aku terlalu bingung.
Aku mencapai telefon bimbitku. Aku menekan nombor rumahku.
"Hello, Rezal... Amir ada di situ tak?" Tanyaku, suaraku tersekat-sekat.
"Tak ada... kenapa nok?"
"Tak ada apa-apa." Kataku lalu memutuskan talian.
Aku mula risau. Sekurang-kurangnya Amir menghubungiku melalui telefon bimbitku. Sekurang-kurangnya aku tahu di mana dia sekarang. Kini aku menyumpah-nyumpah diriku kerana tidak memaksa Amir membeli telefon bimbitnya sendiri. Amir benci membawa telefon bimbit. Kerana katanya, dia terasa terikat jika dia mempunyai telefon bimbit.
Di dalam keadaan diriku yang risau itu aku hidupkan enjin kereta. Mungkin Majid boleh menolongku, fikirku di dalam hati...

***

Aku menelefon Majid sebaik sahaja aku tiba di hadapan kondominiumnya di Pantai Dalam. Aku tahu di dalam masa-masa seperti ini dia pasti ada di dalam biliknya. Dia sibuk berIRC di channel #sayangabang kegemarannya itu.
"Aku perlu bercakap dengan kau." Kataku kepada Majid melalui telefon bimbitku.
"Cakap je lah... kau nak apa?" Dia menanyaiku. Aku dapat mendengar dia sedang menaipkan sesuatu ke papan kekunci komputernya.
"Aku bergaduh dengan Amir..." Majid tiba-tiba berhenti menaip.
"Bila?"
"Tadi... di tempat kerja."
"Kau kat mana sekarang... kat rumah?"
"Aku ada di bawah apartment kau."
Majid terdiam sebentar.
"Okay.. aku turun jumpa kau sekarang."
Lima minit kemudian, Majid mengetuk cermin keretaku meminta aku membuka pinta keretaku.
"Amir kat mana sekarang?" Tanya Majid sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta.
Aku mahu menjawab. Tetapi lidahku kelu. Perasaan sedih yang aku simpan sejak tadi, kini mula seperti mahu meletus pada bila-bila masa. Mataku mula terasa panas.
"Okay... aku rasa kau baik ikut aku naik atas." Sebut Majid sebaik sahaja dia dapat melihat air mataku mula turun mencurah-curah. Aku tidak dapat mengawal perasaanku lagi.
Aku mengelap air mataku. Aku mengikut suruhan Majid lalu aku ekorinya sehingga ke apartmentnya itu. Inilah kali pertama aku ke sini, walaupun aku pernah dijemputnya berkali-kali ke apartmentnya itu. Aku tetap berdegil tidak mahu ke sini, kerana aku terlalu segan dengan Farid, abang kepada Majid yang fikirku langsung tidak sebulu dengan Amir.
Aku duduk di atas kerusi sofa Majid. Wajahku muram.
Majid telah meminta aku menceritakan apa yang telah berlaku kepadaku dari awal hingga akhir kepadanya.
Aku membuka cerita dengan memberitahunya tentang bagaimana Adi telah menyerahkan pakaian Abang Zami (yang telah aku amanahkan kepadanya untuk diserahkannya kembali kepada abang Zami) kepada Amir. Dan bagaimana Fadzil pula telah memberitahu kepada Amir bahawa dia telah melihatku bersama abang Zami di dalam bilikku sendiri.
"Tangan kau berdarah." Tegur Majid sewaktu aku selesai menceritakan kepadanya apa yang telah berlaku petang tadi.
"Ini bukan bekas darah aku... tapi bekas darah Amir."
Majid telah berastagafar sebelum menyambung:
"Kau pukul dia?"
Aku menganggukkan kepalaku. Majid menggeleng-gelengkan kepalanya. Dari raut wajahnya aku tahu dia sukar untuk mempercayai penjelasanku itu.
"Kau tahu diri kau tu jantan... dulu budak RMC pulak tu! Dia pun jantan. Kalau bergaduh jangan sekali-kali ikutkan rentak marah dia tu. Dah aku nasihatkan kau berkali-kali!" Getus Majid marah-marah kepadaku. Jarang sekali dia memarahi aku. Tapi hari ini lain pula jadinya.
"Aku tahu aku salah... aku menyesal!" Kataku dengan tulus. "Aku benar-benar menyesal, Majid. Aku tak tahu apa aku nak buat sekarang. Aku nak dia balik kepada aku. Aku tak mahu dia tinggalkan aku dengan tiba-tiba macam ni."
Majid mengeluh. Dia sendiri tidak tahu apa yang boleh dibuatnya.
Pada waktu itu, tiba-tiba Farid keluar dari biliknya. Dia berpakaian kemas. Mungkin dia mahu keluar pada malam itu.
"Bang... Zam ni tengah cari Amir." Kata Majid dengan suaranya yang bernada rendah.
Aku menghulurkan tanganku untuk bersalaman dengan Farid.
"Kita telah bertemu di Oxford pada tahun lepas." Sebut Farid kepadaku. "Kau masih ingat, bukan?"
Aku mengangguk.
Farid memaling ke arah Majid. Kemudian kepada aku.
"Tapi abang langsung tak tegur saya masa tu." Balasku tertunduk.
"Masa tu aku tengah marahkan si Amir... aku tak pernah marahkan kau. Nak buat apa aku marahkan kau?" Farid membetulkan ikatan tali pinggangnya sebelum menyambung. "Dah banyak kali aku suruh Majid jemput kau ke sini... tapi kau tak mahu."
"Abang nak ke mana ni?" Sampuk Majid tiba-tiba.
"Aku nak keluar pergi ke Modesto, Bangsar... aku dan Anita nak ke sana. Sekejap lagi Salina datang jemput aku di sini." Beritahu Farid. Aku tergamam sewaktu mendengar nama Salina di sebut Farid. "aku bukan macam kau... main IRC 24 jam!"
Majid tidak menjawab tuduhan abangnya itu. Dia tersengih sendiri.
"Kalau macam tu... saya balik dulu bang--" sebutku sebelum kata-kataku dipintas Farid.
"Tak... aku nak kau duduk sini sampai dia datang." Perintah Farid. "Salina dah lama nak bersemuka dengan kau."
Aku menggaru-garu kepalaku. Semakin bertambah-tambah pula bala yang menimpa diriku pada hari ini.
"Kenapa kau nak cari Amir... kau bergaduh dengan dia?" Tanya Farid. Dia menghidupkan putung rokoknya. Dia menawarkan sebatang rokok kepadaku, tetapi dengan sopan aku menolak tawarannya itu.
"Ya... kami bergaduh." Jawabku sambil menelan air liurku.
"Kali terakhir aku bergaduh besar dengan Amir... dia lari ke rumahnya di New York. Salina terpaksa turun ke New York untuk pujuk dia kembali pulang ke Boston... kalau kau, sanggup kau buat ini semua?" Tanya Farid kepadaku dengan nada bersahaja. Soalannya perit kurasa untuk kujawab.
"Saya sanggup buat apa saja, asalkan dia balik kepada saya."
Kataku dengan tegas walaupun suaraku perlahan.
"Then... good luck to you."
Kata Farid dengan Nada sinis. "Kau tahu yang dia tu degil? Panas baran? Tak pernah berfikiran waras ketika sedang marah? Tak pernah mahu fikirkan tentang perasaan orang lain sebelum dia bertindak?" Tanya Farid bertalu-talu kepadaku.
"Saya tahu.. saya tahu ini semua."
Pintu apartment Majid tiba-tiba diketuk dari luar. Farid bergegas ke arah pintu.
"Awal you hari ini... selalunya lambat." Kata Farid kepada pelawatnya yang sedang berdiri di muka pintu. Aku dapati Farid selalu bersikap sinis, hampir kepada semua orang, bukan dengan aku sahaja.
Farid menjemput pelawatnya itu masuk. Majid dan aku saling berpandangan. Dari raut wajahnya, aku tahu bahawa dia juga seperti aku--keliru kepada perkembangan yang sedang berlaku pada waktu itu.
"Salina... ini Nizam." Kata Farid, memperkenalkan diriku kepada Salina, pelawatnya pada malam itu.
Aku dapati Salina kecil comel orangnya. Wajahnya cantik. Wajah wanita Melayu moden yang boleh aku bandingkan dengan wajah Wan Zaleha Radzi atau Sheila Majid. Dia kelihatan anggun dengan pakaian serba hitamnya yang aku pasti dari rangkaian pakaian yang berjenama mahal-mahal seperti Donna Karan ataupun Escada. Bag sandangnya pula dari jenama Louis Vuitton. Pendek kata, dia memang kelihatan serasi dan ayu dengan pakaiannya pada malam itu.
"Oh ini rupanya Nizam... we get to meet each other at last!" Kata Salina. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman denganku.
Aku bersalaman dengannya walaupun takut-takut pada mulanya.
"Do you mind if I talk to Nizam for a while?" Tanya Salina kepada Farid.
"No... go ahead. Take your time."
Jawab Farid perlahan, lalu membuka pintu verandanya.
Salina mengajakku ke veranda. Dari sana aku dapat melihat pemandangan kota Kuala Lumpur dari Pantai Dalam.
Suasana malam tenang. Langit langsung tak berawan.
"You actually look better now than you are in your old photos taken while you were in England with Majid."
Sebut Salina, yang mungkin selalu melihat album gambar-gambar lama kepunyaan Majid yang selalu diambilnya bersamaku.
Aku hanya mampu tersenyum kelat.
"Betul... in real life you memang handsome orangnya." Salina menegaskan. "Sekarang barulah I sedar mengapa Amir telah memilih you dan bukan I." Suaranya lembut ku dengar. Kata-katanya telah dituturkannya dengan teratur. "Mengapa mesti yang terbaik diantara lelaki terbaik yang ada, berkeadaan seperti you dan Amir?"
Aku tahu bahawa dia sedang bercakap tentang keadaanku yang meminati kaumku sendiri. Aku tidak menjawab soalannya tadi.
"Saya minta maaf kepada setiap apa yang telah berlaku di antara awak dan Amir." Kataku. Kalau boleh mahu sahaja aku sujud di hadapannya. Kerana selama ini sememangnya terasa seolah-olah aku telah melakukan dosa yang besar terhadap dirinya.
"You tak payah minta maaf kepada I. You tak salah." Ujar Salina sambil memandang jauh kehadapan.
Aku mengeluh. Angin malam meniup sepoi-sepoi bahasa. Rambut Salina yang halus itu kadang kala terlerai cantik ke belakang.
"Sebenarnya I yang bersalah di dalam hal ini. Tentu you tahu mengapa Amir tinggalkan I..." Ujar Salina sambil menghela nafasnya.
Aku kurang pasti dengan soalan yang telah dikemukakan kepadaku tadi.
Aku diam.
"Semasa di Boston... we did things together. We didn't take adequate precautions and I've gotten myself pregnant."
"Saya tahu. Amir sendiri pernah beritahu kepada saya tentang hal ini." Jelasku, sambil menggosok-gosok leherku.
"Tentu you tahu bahawa I lah yang telah menggugurkan anak I dan Amir dahulu. I memang menyesal kerana perbuatan I ni dahulu."
"Tapi kenapa?" Tanyaku meminta kepastian.
"Kerana I tak sanggup beritahu kepada mak bapak I tentang keadaan diri I. Mereka orang ternama. Fikir I, mereka tidak mungkin boleh menerima kenyataan bahawa anak perempuan kesayangan mereka ini sedang mengandung di luar nikah. Kalau mereka tahu, I tak tahu apa akan mereka lakukan kepada diri I. Masa tu I terlalu takut. Tapi... setelah I pulang ke sini, I akhirnya beritahu kepada mak I tentang perkara ini. Mak I marah! Katanya I memang tak patut membuang bakal cucunya itu. Katanya, sebagai anaknya, I tak mungkin akan disisihkan begitu sahaja. Apa yang terjadi telah terjadi dan I sepatutnya menghadapinya dengan tabah, bukan mencari jalan pintas seperti apa yang telah I lakukan di Boston." Jelas Salina dengan panjang lebar. Suaranya penuh sesal. "If only I have listened to Amir and kept the child... mungkin sekarang I dan Amir menjadi sepasang suami isteri yang bahagia.
I mean, it will be a perfect match between us."
Aku dapat membayangkan kebahagiaan yang mungkin akan dikecapi oleh Salina dan Amir. Lebih-lebih lagi kerana mereka berdua sama darjat dan kedudukan. Mungkin setelah apa yang berlaku kepadaku tadi, Amir akan kembali mendapatkan Salina.
"Amir betul-betul kecewa apabila dia mendapat tahu bahawa I telah menggugurkan anak kami tanpa pengetahuannya. Sejak dari hari itu dia terus berubah..." Salina mengibaskan rambutnya.
Dia menoleh ke arahku. "Jaga dia betul-betul... don't ever make the same mistake as I did."
Hatiku sebak. Mahu sahaja aku menangis di hadapan Salina pada ketika itu. Aku mula dapat merasakan bahawa Amir akan meninggalkanku sebagai mana dia pernah meninggalkan Salina.
Aku menyesal kerana telah tersilap langkah. Setiap tindakanku telah menyebabkan aku kehilangan Amir. Aku menyesal tak sudah-sudah.
Salina mengajakku masuk ke ruang tamu. Aku mengangguk lalu mengekorinya dari belakang.
"Amir sedang bergaduh dengan Nizam." Sebut Farid kepada Salina sebaik sahaja mereka bersemuka kembali. "Majid baru sahaja beritahu kepada I tentang perkara ini."
"What happened?" Tanya Salina kepada Farid. Dia nampak risau.
"Diorang gaduh. Biasalah si Amir tu--"
Salina berdecit. Dia menjeling lalu memandangku.
"Dia memang begitu, sabar okay?" Pujuk Salina. Dari pandangan matanya aku tahu dia iklas memberi nasihat tersebut kepadanya.
Aku harap aku boleh bersabar. Walaupun setiap detik pada hari itu aku rasakan seperti setahun lagaknya. Boleh gila rasanya jika aku berkeadaan begini untuk sehari atau dua lagi.
"You think you know where he is?" Tanya Salina kepada Farid.
"I tak pasti. Maybe we can ask Anita." Kata Farid. Kemudian dia menyuruhku bermalam di apartmentnya itu sahaja kerana dia tak mahu aku ke mana-mana. Dia menyuruhku tunggu sehingga dia pulang. Mungkin dia boleh mencari Amir dan memujuknya datang menemuiku di sini.
Aku tidak mampu untuk menolak saranannya itu. Aku sanggup membuat apa sahaja asalkan aku dapat menemui Amir. Aku mahu meminta maaf dari Amir kerana telah menyakiti dirinya itu. Aku mahu dia tahu kisah sebenar yang telah berlaku pada malam aku membawa abang Zami pulang ke rumahku. Aku mahu dia menerimaku kembali...
Aku sanggup menunggunya di sini, walaupun penantian ini langsung menyeksa jiwaku ini bagai nak gila! 

Bersambung...

3 comments:

  1. Nice.Penggunaan ayat yang bagus dan berseni. Rajin menulis. Cuma citer begini kurang sikit golongan pembacanya. Apa-apa pun keep up the good work.

    ReplyDelete
  2. puteri: cerita ini bukanlah hasil tulisan saya. saya cuma ingin berkongsi antara cerita yang saya minati... :)

    ReplyDelete
  3. Oooo patut la. Mana ambik citer ni?

    ReplyDelete