Sunday, July 1, 2012

NAFAS : Bab 14

Bab 14

Setelah menghantar Majid ke Gatwick, aku dan Amir pulang bergegas ke Brompton Square. Tanpa perlu disuruh, aku terus memulakan pekerjaanku untuk membersihkan rumah yang penuh habuk ini.
Penat aku membersihkan rumah Amir yang besar ini. Aku memulakan pekerjaanku dengan membersihkan habuk di tingkat bawah, (tingkat basement terus aku lupakan kerana hanya tersimpan dokumen-dokumen serta perabot-perabot lama di sana) sehinggalah ke tingkat yang teratas. Kerana tak mahu habuk terbang ke merata ruang, aku dan Amir telah bersetuju untuk tidak menggunakan sistem penghawa dingin.
"Panasnya rumah ni!" Getus Amir. Baju singlet putihnya basah berpeluh. Memang aku tak dapat nafikan bahawa kulit sawo matangnya itu membuatkannya nampak lebih macho. Naik nafsuku tatkala aku melihatnya begitu.
"Memang London panas pada musim panas." Jelasku.
"Ya... di New York juga terlalu panas pada musim panas." Balas Amir. Aku melihat kepada bahagian lengannya yang berurat serta bisepnya yang padat itu. Tubuhnya memang cukup kekar kulihat.
"Kau selalu ke gym?" Tanyaku kerana ingin tahu.
"Selalu jugak. Tapi kenapa awak tanya?" Dia sengaja menunjukkan otot bisepnya kepadaku. Cair aku dibuatnya.
"Tak ada apa-apa," aku tersipu malu.
"Badan awak nampak tough jugak, awak pergi ke gym jugak ke?" Amir menanyaiku pula.
"Tak lah... tapi kalau aku ada masa, lepas kelas aku akan pergi berjogging ke Kensington Gardens dan ke Hyde Park. Dan aku selalu buat pumping di rumah." Aku menghembuskan asap rokokku ke tepi.
"Kalau awak nak jaga badan... awak kena berhenti hisap rokok." Amir menasihati.
"Dan awak pula kena berhenti minum." Kataku spontan. Tak tahu aku kenapa aku perlu berkata begitu. Mungkin aku tidak puas hati melihat dia dan Majid minum tatkala menonton TV semalam.
Suasana menjadi senyap sebentar. Aku terus mengelap cermin besar di biliknya. Aku menoleh ke arahnya yang sedang mengelap lantai dengan mop. Sekali sekala dia akan menoleh ke arahku. Mungkin dia tak betapa suka melihatku merokok di dalam rumahnya.
Aku mematikan putung rokokku.
"Terima kasih," katanya perlahan. "Kita rehat dulu." Perintahnya kemudian.
Aku berhenti mengelap lalu duduk di sebelahnya di atas katil. Sekali lagi aku dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang ingin diketengahkan olehnya kepadaku. Tetapi tidak dapat diluahkannya.
"Saya nak mandi... nanti pukul enam kita ke Kengsington Gardens, ya?"
Aku mengangguk setuju. Amir berjalan di hadapanku untuk ke bilik mandi sambil membuka singlet putihnya. Aku dapat melihat badannya yang tegap itu licin dibasahi peluh. Aku menarik nafasku panjang-panjang...

Kami telah berjalan kaki ke Kengsington Gardens. Sebelum itu, aku sempat membawanya bersiar-siar memperkenalkan kampus Imperial College ku itu kepadanya. Dia sempat membandingkan keadaan senibina MIT yang katanya lebih menarik lagi dari Imperial College. Katanya, kampusnya itu menarik kerana ia telah di bina di sebelah Sungai Charles.
"Rogers Building terkenal dengan Great Domenya boleh dilihat dari bandar Boston. Jadi, dari seberang sungai Charles, semua orang akan tahu di situlah letaknya MIT." Kata Amir dengan bangga.
Amir juga sempat memberitahu kepadaku bahawa bangunan-bangunan dikampusnya telah direka oleh beberapa arkitek yang terkemuka di dunia. Bangunan asramanya di Baker House telah di reka oleh Alvar Aalto.
. "Baru sahaja tadi awak lap kerusi Alvar Aalto di tepi tangga tingkat dua. Itu salah satu contoh rekaannya." Jelasnya sewaktu kami berjalan di
dalam kawasan kampus.
Aku mendapati Amir banyak bercerita. Ada sahaja topik yang hendak dikemukakan kepadaku. Apabila kami berjalan di kampus dan melalui bangunan sekolah sains komputer, dia sibuk pula mengatakan tentang ijazah computing yang baru sahaja diterimanya selain dari ijazah matematik dari MIT. Dia bertanyakan kepadaku kenapa aku mengambil jurusan kejuruteraan pembinaan, aku hanya menjawab sepatah dengan mengatakan bahawa itulah kecenderunganku
Sewaktu kami tiba di Albert Court, di dalam perjalanan kami menuju ke arah Royal Albert Hall. Amir telah memberitahuku:
"Saya suka kawan dengan awak!"
Aku dapati kata-katanya itu seperti kata-kata yang dah lama aku tak dengar. Kali terakhir aku mendenngar perkara yang sama diucapkan kepadaku adalah apabila Shahrin memberitahuku perkara yang sama tatkala kami berada di darjah empat.
"Eh, kalau nak kawan tu kawan lah... apa salah?" Aku mengusap misaiku yang mula basah berpeluh itu. Aku dapati Amir sedang memerhatikan sahaja gerak-geriku dengan penuh minat.
"Saya suka kawan dengan awak sebab... sebab, entahlah. Sebab awak nak tolong saya bersihkan rumah saya tadi. Sebab awak nak temankan saya di sini dan nak ikut saya menjelajah ke Eropah."
Banyak sangat kata-kata sebab yang telah diucapkannya.
"Alah... aku buat tu semua dengan iklas. Aku tak mahu terima apa-apa balasan dari kau. Sebab kau kawan kepada kawan baik aku... kau aku terima sebagai kawan aku juga. Aku memang jenisnya suka tolong kawan."
Amir mengusap-ngusap pipinya. Dia tersenyum kepadaku. Entah apa sahaja yang tersembunyi di sebalik senyumannya yang penuh bermakna itu, aku sendiri kurang mengerti.
"Pakcik saya pernah belajar di sini." Kata Amir sewaktu kami tiba di hadapan bangunan Royal College of Art yang terletak berhadapan dengan Kensington Gardens. "Sekarang dia ada firma hiasan dalamannya sendiri di KL."
"Baguslah tu." Jawabku pendek.
"Paksu saya tu, gay... dia tinggal dengan boyfriend dia di Bangsar." Kata Amir, berjalan ke arah laluan pejalan kaki untuk melintas. Melulu sahaja dia memberitahu keadaan paksu nya itu kepadaku.
"Keluarga awak tak marah?"
"Mak dan saudara-saudara saya yang lain semua memang tak kisah... cuma datuk saya tu."
"Apa dah jadi?"
"Dia tak mahu mengaku paksu aku tu anak dia lagi."
Aku mengeluh. Aku tak tahu jika perkara yang sama akan berlaku kepadaku jika ibu dan bapaku sendiri akhirnya akan mengetahui tentang diriku ini. Buat masa ini aku kurang pasti jika keluarga Amir sendiri tahu bahawa dia seorang biseksual. Perkara-perkara sensitif seperti ini, aku rasa, tak perlu aku tanyakan kepadanya...
Kami terus berjalan ke Kengsington Gardens sehinggalah kami sampai di hadapan sebuah tasik. Kami duduk betul-betul di hadapan tugu Henry Moore.
"Jika di Boston... saya suka duduk dengan Salina di Boston Commons." Amir memberitahuku. Dia mengeluarkan dompet duitnya lalu menunjukkan gambar Salina yang telah disimpannya dalam dompetnya itu.
"Memang cantik budaknya." Kataku dengan ikhlas. Gambar tersebut telah diambil di hadapan Great Dome di MIT. Amir dapat kulihat memeluk Salina dari belakang. Salina tersenyum bahagia.
Salina orangnya kecil molek. Berkulit putih bersih. Wajahnya anggun, seperti wajah yang telah terjaga rapi sejak kecil. Aku dapat bayangkan keadaan Salina apabila dia tua kelak. Salina pasti akan tergolong di dalam golongan wanita-wanita kelas atasan yang kerjanya merasmikan upacara kebajikan dan amal.
Secocok benar dia dengan Amir, kerana Amir mempunyai wajah yang menunjukkan bahawa dia akan mempunyai kedudukan besar di dalam masyarakat tidak lama lagi. Muka ada tokoh dapat pangkat Tan Sri, fikirku di dalam hati.
Aku tidak tahu kenapa pada waktu itu perasaan cemburu mula timbul di dalam hatiku. Aku tak tahu kenapa aku cemburu dengan hubungan Amir dan Salina.
"Gambar itu telah diambil oleh abang Farid pada musim bunga tahun lepas. Kami sering keluar bersiar-siar bersama-sama." Amir mengambil kembali gambar tersebut dari tanganku lalu menyimpan gambar itu dengan cermat ke dalam dompet duitnya. "Selalunya, pada hari petang hujung-hujung minggu, Salina akan menaiki T dari terminal di Boston College lalu berhenti di Boston Universiti. Dia akan menunggu abang Farid dan saya di hadapan tugu peringatan Dr. Martin Luther King Jr. di BU. Dari sana kami akan berjalan di taman di tepi Sungai Charles sehinggalah ke pusat bandar. Itulah aktiviti yang kami selalu lakukan bersama pada hari hujung minggu."
Amir menarik nafasnya seolah pengalaman-pengalaman lamanya itu akan langsung menghantui dirinya sampai bila-bila. Seperti mana datukku sering menceritakan tentang pengalaman pahitnya pada masa penjajahan Jepun kepadaku dahulu.
"Tentu seronok kau bertiga dapat bersiar-siar di Boston!" kataku diiringi dengan anggukan dari Amir. Mahu sahaja aku ke Boston setelah mendengarkan penjelasan mengenai kota itu dari Majid dan Amir semalam. Ada sahaja perkara menarik mengenai kota itu yang mahu mereka bualkan. Bersama. Mereka berdua seolah-olah telah lama bosan dengan kota London, kerana tidak ada apa-apa yang menarik yang mahu mereka bualkan tentang kota ini.
"Kau tinggal di New York... seronok tak tinggal di sana?" Tanyaku kemudian mengenai sebuah lagi kota yang tidak pernah aku lawati.
"Memang seronok. Di New York, saya, ibu saya dan bapa tiri saya menetap di sebuah apartment kecil di Central Park West. Kami menetap di situ kerana ibu saya bekerja di Mount Sinai Medical Centre... yang letaknya di 5th Avenue, tak jauh dengan tempat tinggal kami." Amir mengurut-ngurut pehanya yang tebal. Amir sedang memakai seluar pendek berwarna cokelat terang. Mataku kadang-kala mencuri lihat peha dan betisnya yang padat itu. Geram juga aku melihat betisnya yang padat, berbulu dan berurat itu. " Pada musim panas seperti ini, saya suka ke Central Park, dan duduk di sana sambil memerhatikan gelagat manusia. Farid dan Salina pernah tinggal dengan saya di New York pada musim panas yang lepas. Mereka juga suka kepada kota New York." Jelasnya kemudian kepadaku.
"Mak kau doktor?" Aku menanyainya. Mataku kini kepada tangan dan lengannya yang keras serta berurat itu.
"Ya... dia doktor." Jawabnya perlahan. "Dia memang mahu jadi doktor sejak dia kecil lagi. Di dalam masa yang sama, dia mahu ke Amerika Syarikat. Jadi datuk saya tidak ada pilihan melainkan menghantarnya belajar ke New York University pada lewat tahun 60-an dulu. Dia belajar di sana sehinggalah dia mendapat ijazah kedoktoran dari NYU."
"Majid beritahu kepada aku... mak kau bertemu dengan ayah awak di New York?" Aku meminta keterangan.
"Betul... masa tu bapak saya belajar di dalam jurusan kejuruteraan sivil di Columbia University. Tapi sebenarnya, pada masa itu, mak saya sebenarnya suka kepada bapa tiri saya sekarang ini. Bapa saya dan bapak tiri saya dulu adalah kawan baik semasa mereka di Columbia... Ceritanya sebenarnya panjang!"
"Tak apa, saya mahu dengar." Pujukku.
"Semasa mak saya pulang ke Malaysia, dia terpaksa meninggalkan bapa tiri saya di US, kerana bapa tiri saya tidak mahu mengikutnya pulang ke Malaysia. Semasa di Malaysia pula, datuk saya telah diperkenalkan kepada bapa saya melalui ibu saya. Datuk saya berkenan dengan bapa saya... dia terus mahu ibu saya berkahwin dengan bapa saya. Walaupun mereka berdua keberatan, mereka tetap berkahwin juga."
"Oh begitu ceritanya..." takdalah panjang mana ceritanya itu, fikirku. Tapi mungkin ada lagi banyak perkara mengenai hubungan ibu dan bapa tirinya yang kurang aku fahami. Mungkin benar kata Amir bahawa ceritanya itu panjang...
"Ibu dan bapa saya akhirnya bercerai apabila saya berusia enam tahun. Kerana bapa saya main kayu tiga." Jelas Amir kepadaku dengan iklas. Langsung dia tidak kisah menceritakan perkara ini kepadaku. "Kerana terlalu kecewa, ibu saya akhirnya membawa dirinya kembali ke New York. Dia membawa saya ke sana. Di sana dia telah menemui bapa tiri saya yang pada masa itu masih bujang..." Amir memandang langit senja. "Lalu mereka berduapun berkahwin. Walaupun pada mulanya cadangan mereka telah ditentang hebat oleh pihak datuk saya. Tetapi ibu saya memang keras kepala orangnya! Dia tetap juga dengan rancangan dia tu!"
"Bila mak kau berkahwin... kau ada adik lagi tak?"
"Tidak... mak saya tidak boleh melahirkan anak lagi. Masa umur saya dua tahun, dia mengalami penyakit pangkal rahim. Sebab tu bila bercerai, dia mahu menjaga saya. Dia berikan bapa saya dua pilihan, samada mahu memelihara saya atau mahukan pekerjaannya di syarikat datuk saya. Bapa saya memilih pekerjaannya."
Amir menarik nafasnya panjang-panjang. Menghirup udara petang. Dia memangkukan sikunya kepada bahuku kemudian berkata:
"Awak tak banyak cerita tentang diri awak... selama kita berkenalan, hanya saya sahaja yang banyak cakap."
"Sebab kau memang jenisnya yang banyak berceloteh." Aku mengusiknya.
"Saya tahu... abang Farid dan Salina ada tegur jugak."
"Tapi aku suka dengar kau bercerita... sungguh!"
"Saya tak bosankan awak?"
"Tidak!" Kataku bersungguh-sungguh. "Cerita-cerita kau memang menarik. Boleh buat novel!"
Amir ketawa. Manis wajahnya tatkala dia sedang ketawa.
"Okay, begini... cuba awak ceritakan tentang diri awak pulak."
Aku tersenyum, sebelum aku memulakan cerita tentang keluargaku di Terengganu sehinggalah kepada sekolah lamaku di MTD. Lama juga aku bercerita. Dan selama aku bercerita, Amir diam mendengar ceritaku dengan penuh kusyuk.
"Saya pernah melawat ke sebuah bandar nelayan di Worchester di Massachussets, tetapi tak pernah pula di Malaysia." Kata Amir setelah ceritaku itu tamat.
"Tempat saya tu memang kampung, bukan macam di US."
"Saya tak pernah tinggal di kampung. Datuk saya sendiri tinggal di Bukit Tunku di KL. Itu sahajalah kampung yang saya kenal selama ini." Amir menjelaskan.
"Jika kau pulang ke Malaysia nanti, jemputlah datang ke kampung aku... nak tak?" Aku menyarankan. Wajah Amir tiba-tiba berubah ghairah. Tampak gembira amat.
"Eh, tentulah saya nak!" Getusnya seperti seorang kanak-kanak yang baru dijanjikan hadiah.
"Saya juga mahu awak ikut saya ke New York pada satu hari nanti. Banyak tempat yang nak saya tunjukkan awak di sana!" . Aku hanya tersenyum.
Beberapa detik kemudian Amir terdiam. Termenung ke arah tasik.
"Amir... awak ada sesuatu yang awak nak beritahu kepada saya ke?" Tanyaku.
Amir tersenyum memandangku. Dia menggelengkan kepalanya.

Kami hanya pulang ketika keadaan mula nampak gelap. Kerana malas memasak, aku telah membawanya makan di sebuah restoran Arab yang terletak di Edgware Road. Kami telah makan kebab di sana.
Aku sememangnya suka melihat Amir tatkala dia sedang makan. Dia memang kuat makan orangnya. Dia hampir-hampir tidak mengunyah kebabnya. Terus ditelannya sahaja kebabnya itu. Dia makan seperti orang sedang kebuluran. Mungkin kerana dia terlalu lapar pada hari itu, fikirku sendiri.
Sewaktu di dalam perjalanan pulang, kami telah bertembung dengan beberapa orang pelajar perempuan dari Malaysia yang aku kenali.
Mereka adalah pelajar tahun pertama dari London School of Economics. Aku tahu salah seorang dari mereka yang bernama Faridah sangat-sangat meminatiku. Sudah dua kali dia cuba menyuruh Rezal membawaku keluar berjumpa dengannya, tapi aku menolak.
"Awak busy tak minggu depan?" Tanya Faridah sejurus selepas dia diperkenalkan kepada Amir olehku.
"Kau nak buat apa?" Tanyaku ingin tahu.
"Nak ikut kami ke Edinburgh tak?" Ujar Faridah bersuara manja. Dia memegang bahagian tudungnya yang berwarna merah itu. Dia menjeling-jeling ke arah rakan-rakannya yang aku pasti adalah pelajar dalam jurusan undang-undang sepertinya.
"Aku busy... aku nak round satu Europe dengan Amir!" Aku mengusap-ngusap janggutku.
"Okay... esok awak free tak?" Faridah menanyaiku dengan penuh harapan. Dia menoleh ke arah rakan-rakannya yang tersenyum-senyum malu itu.
"Esok lagilah aku tak free... aku nak bawak budak US ni jenjalan satu London."
"Okaylah... nanti senang-senang saya call awak, okay?" Semahu-mahunya dia ingin mengenaliku dengan lebih rapat lagi. Naik rimas aku jadinya.
"Wah... glamer awak di London ni, ya!" Amir mengusikku setelah Faridah dan rakan-rakannya berjalan jauh dari kami.
"Pompuan tu yang gatal... malas saya nak layan!" Dengusku.
"Ye lah... orang hensem. Perempuan mana yang tak syok kat awak," sebut Amir kemudian dia mentertawakanku.

Kami telah pulang ke Brompton Square dengan menaiki bas. Pada malam itu Amir banyak berceloteh. Dan dari situlah aku mula mengenali dirinya dan latar belakangnya hidupnya. Dan dari situlah juga aku mula rasa begitu dekat dengannya.
Kami tidur sekatil pada malam itu. Sekali lagi di dalam gelap, aku sememangnya dapat merasakan Amir seolah-olah sedang memerhatikan diriku di dalam gelap. Aku sendiri tidak terasa terganggu atau merasa rimas. Cuma aku rasa kurang senang, kerana aku mula mengalami satu perasaan yang aku rasa begitu asing di dalam jiwaku. Satu perasaan yang tidak pernah kurasakan selama ini.
Di dalam gelap malam, mahu sahaja aku memegang tangannya sewaktu kami sedang tidur bersama. Aku terasa begitu senang tidur di sisinya. Setiap kali bahagian tubuhku bertembung dengan tubuhnya, aku langsung dapat merasakan kehangantan tubuhnya.
Pada malam itu, aku telah terfikir tentang kemungkinan dia menjadi kekasihku. Satu kemungkinan yang tidak mungkin akan berlaku tetapi
sengaja aku memikirkannya. Aku rasa seronok memikirkan tentang perkara ini. Aku rasa seronok kerana Amir mempunyai ciri-ciri lelaki yang aku cari selama ini. Aku cuba membayangkan senario kami berdua sebagai sepasang kekasih yang bahagia. Entah mengapa, fantasiku ini terbawa-bawa pula kepada adengan aku bersamanya di atas ranjang.
Kelakianku keras menegang, lebih-lebih lagi sewaktu aku sedang membayangkan diriku cuba meraba-raba dadanya yang bidang itu. Semakin keras lagi apabila aku cuba membayangkan Amir mengucup bibirku dan mengulum lidahku dalam-dalam. Tanpa aku sedari dan dengan tidak sengaja, (mungkin kerana terlalu khayal) aku telah menujah- nujah senjataku itu menikam ke bahagian tubuh Amir dan bukan ke bantal peluk yang sebelum ini telah menjadi sempadan memisahkan kami. Bantal itu rupa-rupanya sedang dipeluk Amir!
Aku cepat-cepat pusing menghadap ke arah lain.
Entah apa sahaja yang akan dia fikirkan tentang diriku ini. Cepat-cepat aku cuba melupakan fantasiku ini mengenai dirinya. Aku memaki hamun diriku kerana telah memikirkan perkara yang bukan-bukan mengenai Amir, sedangkan aku sendiri tahu bahawa Amir sudah mempunyai kekasih!
Aku terasa malu amat. Aku tahu bahawa Amir belum tidur lagi. Aku dapat merasakan dari pergerakkan tilam, dia telah bangun dari keadaan baringnya lalu dia pergi ke luar. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, barulah dia masuk kembali untuk masuk tidur.
Aku malu, tapi aku buat-buat tidur. Aku harap dia akan melupakan peristiwa ini sama sekali pada hari esoknya!

***

Pada hari seterusnya, Amir telah menyarankan bahawa kami keluar bersiar-siar. Amir menyarankan supaya kami menuju ke arah kawasan Chelsea. Kami telah ke King's Road.
Tatkala berada di sana, aku dapat melihat bahawa Amir suka ke beberapa kedai antik di sana. Di telitinya beberapa khazanah antik yang ada dengan penuh minat.
Sesekali dia akan memberitahu kepadaku perkara yang membuatkannya tertarik kepada barangan antik yang ada. Dan kerana dia banyak membaca, dia sempat menceritakan kepadaku tentang latar belakang sejarah yang berkaitan kepada barangan antik yang sedang ditelitinya itu. Malah, dia sempat juga memberitahu kepadaku bahawa King's Street, pada tahun 60-an terkenal dengan fesyen avant-gardenya. Di sinilah bermulanya revolusi miniskirt yang telah menggoncang dunia pada dekat tersebut.
Dia ternyata lebih tahu tentang kota London dari aku yang telah menetap di sini hampir dua tahun ini.
Setelah puas melihat-lihat, kami telah mengambil keputusan untuk duduk berehat sebentar di sebuah restoran di King's Road.
"Kalau saya cakap sikit... saya harap awak jangan marah." Kata-katanya itu tiba-tiba membuat jantungku berdegup kencang. Mataku yang baru sahaja tadi sibuk memerhatikan keadaan hingat bingar di luar restoran The Pheasantry kini mula tertumpu sepenuhnya kepadanya. Kepalaku tiba-tiba terfikir kepada peristiwa malam semalam. Kalau disebutnya peristiwa itu, pasti malu besar aku jadinya.
"Bila kita menjelajah ke tanah besar Eropah nanti, saya mahu awak berpakaian lebih kemas lagi." Amir menyarankan dengan nada yang tegas. Dia memudian mendongak ke atas untuk melihat anjung restoran di King's Road itu. Kami duduk di sebuah meja di luar restoran sambil menghirup udara segar musim panas.
Aku menghela nafasku. Rupa-rupanya cara aku berpakaian yang telah menjadi tajuk perbincangan kami sekarang ini, dan bukan kerana kisah perbuatan aku kepadanya semalam.
Aku memandang kepada baju bola Manchester Unitedku yang lusuh warnanya , seluar jeans Lee ku yang sudah agak pudar serta kasut Pallas ku yang sidikit koyak pada bahagian hadapannya. Aku akui, memang sepatutnya aku beli pakaian yang baru. Tetapi aku tidak pernah terfikir untuk membazirkan wangku di dalam bank (yang kini ku rasa telah tersimpan sejumlah wang yang agak banyak di Barclays Bank). Memang aku ini bukannya jenis yang suka membazir. Sejak aku kecil lagi aku memang suka berjimat. Jika aku mahu berbelanja pun, aku lebih suka membeli hadiah untuk orang yang betul-betul aku sayangi. Dan memang pada ketika ini, tidak terdapat orang seperti itu di dalam hidupku lagi.
"Kau malu ke, bila berjalan dengan aku?" Tanyaku. Aku menghembuskan asap rokokku ke tepi. Aku memerhatikan seorang pelayan meletakkan sebotol air Perrier di hadapan Amir.
"Bukan pasal itu. Tapi saya cuma mahu lihat awak kemas... itu sahaja."
"Tapi okay apa macam ni?"
"Kita akan ke beberapa buah museum besar di Paris, Florence, Venice, Prague dan Amsterdam. Itu tak termasuk restoran serta hotel-hotel di sana nanti. Saya tak mahu nanti awak akan merasa segan atau kekok bila ke tempat-tempat begitu dengan berpakaian begini." Memang ada kebenaran kata-katanya itu. Tetapi aku masih mahu melawan.
"Aku lebih selesa begini--"
"Jadi kenapa awak rasa malu-malu dan segan bila kita ke Harrods semalam? Kenapa bila saya ajak makan ke Park Lane, awak mahu ke Edgware Road?"
"Sebab di sana makanannya lebih murah... lagipun kalau kita makan di sana, kita tak perlu risau sangat... sebab makanannya halal! Lagipun... kau sendiri suka kebab yang awak makan semalam." Kataku marah-marah.
Amir diam sebentar, mungkin kerana dia tidak mahu bertekak denganku lagi. Amir menarik nafasnya panjang-panjang sebelum dia berkata:
"Saya mahu ke Harvey Nichols..."
"Buat apa?"
"Kita pergi shopping... nak tak?" Aku setuju melulu. Walaupun tanpa aku sedari, dia mahu ke Harvey Nichols bukan untuk dirinya, tetapi untuk aku...

Dari Chelsea, kami telah menaiki tube di stesyen Sloane Square untuk ke stesyen Knightsbridge. Dari Stesyen Knightsbridge kami terus berjalan ke arah Harvey Nichols.
"Datuk saya selalu ke sini untuk beli baju-bajunya dari Harrods, kerana menurutnya baju-baju di sini lebih berpatutan dan lebih banyak pilihan. Selain dari apa yang boleh dicarinya di Saville Row." Amir menjelaskan kepada aku yang sememangnya tidak tahu menahu tentang perkara ini semua. Selalunya, jika aku mahu membeli pakaian, aku lebih senang ke Oxford Street untuk ke Top Shop ataupun ke Mash. Itupun aku jarang ke sana. Jika aku ke sanapun, aku akan ke sana kerana pergi menemani Rezal yang tahunya hanya membeli baju fesyen terbaru untuk nampak 'anggun', kononnya.
"Awak ada baju Burberry tak?" Dia mula menanyaiku.
"Tak... aku tak pernah dengar pun jenama macam tu." Kataku berterus terang.
Amir mengambil dua helai baju polo dan dua helai baju kemeja lengan panjang dari Burberry . Kemudian dia bertanyakan kepadaku berapa saiz ukuran pinggangku. Aku memberitahunya, kemudian dia mengambil sehelai seluar khaki juga oleh Burberry. Dia sempat memastikan bahawa panjang ukuran seluar itu bersesuaian dengan tinggiku.
Kemudian, semua pakaian serta seluar yang telah diambilnya itu diberikannya kepada seorang jurujual berbangsa India yang sedang melayani kerenahnya.
"Saiz kasut awak pula?" Tanya Amir sambil mengeluarkan kad American Expressnya keluar. Dia menyerahkan kad tersebut kepada jurujual tersebut yang langsung senyum kepadanya..
"Saiz 8... eh biarlah aku yang bayar." Kataku sambil mengeluarkan dompet duitku dari dalam kocek seluar.
"Trust me dear, you don't want to know how much all of this will cost you." Katanya di dalam loghat New Yorknya itu. "Biar saya saja yang bayar. Saya ikhlas nak belanja." Ujarnya kemudian memberi kata putus. Aku menggaru-garu misaiku yang tidak gatal itu.
Walaupun aku keberatan menerima pemberiannya itu, aku tetap terpaksa mengalah. Setiap kali dia mahukan sesuatu, dia pasti akan cuba mendapatkannya dengan apa cara sekalipun.
Apabila kami tiba di bahagian kasut pula, dia hanya berjalan satu pusingan, lalu memilih kasut yang disukainya. Dia menyuruh jurujual mengambil saiz lapan tanpa bertanya jika aku berkenan dengan pilihannya itu atau tidak. Lalu terus dia membayar harga kasut tersebut. Kerana aku hanya mengekorinya dari belakang, aku sendiri kurang pasti apa yang telah dibelinya kepadaku pada waktu itu. Cuma aku tahu, kotak kasut tersebut ada tertulis perkataan 'Prada' di atasnya. Satu lagi jenama yang tak pernah aku kenali sebelum ini. Tapi yang pasti, aku rasa harganya tentunya mahal. Kerana Amir langsung tidak mahu menunjukkan resit barangan yang telah dibelinya tadi.
"Cukup buat masa ini, kita beli lagi bila kita ke Paris nanti." Kata Amir selepas dia menyerahkan beg Harvey Nichols yang terkandung kasut kulit Prada berwarna hitam yang baru dibelikan kepadaku tadi.
Aku mengeluh lesu. Tidak terdaya aku melayan perangainya yang aku anggap terlalu ganjil buat diriku ini.

Kami berjalan pulang ke Brompton Square. Di dalam perjalanan pulang, Amir terpandang kepada sebuah restoran Thai yang letaknya betul-betul di hadapan Harrods.
"Awak tak perlu masak malam ini... kita akan makan Khun Akorn, okay?" Nadanya lebih kepada memerintah dari meminta. "Malam ini saya mahu lihat awak pakai pakaian yang saya belikan kepada awak tadi." Katanya dengan nada yang sama. Aku mengangguk akur.

Amir duduk di atas katil sewaktu aku sedang menukar pakaian di hadapannya. Sememangnya aku tak mengerti mengapa dia telah memintaku supaya memakai pakaian baruku itu hadapannya. Matanya liar melihatku sejak dari masa aku keluar dari bilik mandi dengan hanya bertuala sehinggalah kini. Sebaik sahaja aku menyarungkan baju kemeja lengan panjangku, dia terus berdiri lalu menolongku membutangkan bajuku itu. Aku dapat melihat busutnya mula mengeras. Nafasnya pula cepat turun naik.
"Hah... hensem pun!" Getus Amir memegang kedua belah bahuku, lalu mengarahkan aku ke cermin solek di dalam biliknya itu. Seterusnya dia mengeluarkan salah satu talipinggang kepunyaannya dari beg pakaiannya lalu dia sendiri memakaikan talipinggang itu ke pinggangku.
"Terima kasih, Amir." Kataku. "Maaf jika aku terlupa untuk ucapkan terima kasih kepada kau tadi."
Dengan nakal dia memegang hidungku, lalu dipicit-picit hidungku itu. Dia tersengih-sengih manja tanpa menjawab kata-kataku tadi.
Aku merenung ke arah cermin untuk memandang kepada diriku sendiri. Memang aku nampak segak pada malam itu. Aku mula merasa lebih yakin dengan diriku ini.
Tatkala keluar dari Brompton Square, aku telah berjalan dengan satu perasaan yang belum pernah aku rasakan sebelum ini. Langkahku lebih lancar. Aku lebih selesa berjalan sambil memandang ke arah orang yang lalu melepasiku. Mungkin betul kata Amir. Apabila aku kelihatan lebih teratur dan terurus, aku tidak merasa kekok tatkala berjalan di kawasan mewah seperti ini. Keyakinanku semakin memuncak apabila aku melihat Amir bersama berjalan segak di sisiku...

Suasana restoran Khun Akorn tenang. Aku terasa selesa menjamah makananku pada malam itu. Amir sempat memberitahu kepadaku bahawa makanan yang telah dihidangkan jauh lebih baik dari yang pernah dirasanya di restoran Bangkok House di New York.
"Saya juga selalu ke restoran Penang di New York... tapi makanannya tak sedap sangat." Ujar Amir sambil menghirup kuah tom yamnya.
"Tak sesedap makanan di Malaysia?" Tanyaku.
"Tak sesedap masakan awak," pintasnya cepat-cepat untuk memujiku.
Aku meletakkan sudu dan garpu dengan cermat di atas pinggan untuk menandakan bahawa aku sudah habis makan.
"Mulut awak comot.." katanya kemudian sambil mengeluarkan kain napkin dari atas pehanya lalu cuba mengelap bibirku. Aku mengelak.
"Awak tak perlu takut dengan saya." Tegurnya. Aku mengelap bahagian tepi mulutku sendiri.
Kami diam buat beberapa ketika, sehinggalah pelayan membawa kuih pencuci mulut yang telah dipesannya tadi.
"Saya ada benda nak cakap dengan awak... tapi saya tak tahu bagaimana nak saya beritahu kepada awak." Kata Amir tersekat-sekat. Dia membetulkan kedudukan cermin matanya.
Aku merenung ke dalam matanya. Dari situ, aku mula dapat mengerti isi hatinya. Aku dapat merasakan seolah-olah aku sudah faham benar apa yang tersimpan di dalam benak fikirannya.
"Pernah tak awak berjumpa dengan seseorang yang tidak awak kenali... awak lihat wajahnya dari jauh, kemudian dia pergi begitu sahaja. Tetapi awak akan ingat kepada wajahnya sampai bila-bila." Tanya Amir. Suaranya perlahan.
"Pernah... wajah seorang tua yang saya jumpa meminta sedekah di Kuala Terengganu. Ketika itu saya berusia sepuluh tahun. Sampai sekarang saya tak boleh lupa wajahnya yang sayu ketika meminta sedekah..."
"Bagi saya pula... awaklah orangnya." Katanya dengan nada ragu-ragu.
"Saya tak faham..."
"Ketika Majid melawat Boston, dia ada bawa gambar-gambar yang telah dia ambil bersama awak di Felsted dulu. Entah mengapa, saya mula tertarik dengan awak. Saya selalu bayangkan yang saya akan dapat berjumpa dengan awak pada satu hari nanti." Jelasnya. Dia memandang ke arah gelasnya yang baru sahaja dipenuhi dengan air oleh seorang pelayan.
"Majid tahu tentang perkara ini?" Apabila Amir menyebut tentang bagaimana dia mula tertarik kepadaku melalui gambarku, terus aku teringat kepada bagaimana abang Zami mula tertarik kepada diriku melalui cara yang sama.
"Dia tahu... dia tahu bahawa saya sukakan awak. Tapi saya tak benarkan dia beritahu kepada awak." Jelasnya sambil menggigit bibirnya. "Awak tentu fikir saya gila... tapi saya telah ke sini untuk belajar bukan sahaja kerana Majid ada di sini, tetapi kerana saya mahu bertemu dengan awak... dan, Majid juga tahu tentang perkara ini."
Aku menarik nafasku panjang-panjang. Majid memang pandai berahsia, kataku di dalam hati.
"Awak nak tahu apa yang kami bualkan ketika di Heathrow kelmarin?" Tanya majid kemudian.
Aku hanya mampu mengangguk. Aku masih ingat lagi kepada peristiwa mereka berdua bercakap di dalam bahasa Perancis di hadapanku di Heathrow.
"Kata Majid, saya akhirnya dapat berjumpa dengan awak... jadi dia tanya apa pendapat saya terhadap awak. Saya kata awak kelihatan lebih hensem dan macho dari apa yang saya lihat di dalam gambar." Amir berhenti, mungkin terlalu malu untuk menyambung lagi. Mukanya merah padam menahan malu.
"Kemudian, kenapa kau berdua ketawa selepas itu?" Tanyaku ingin tahu.
"Majid cakap... dia tahu bahawa awak sukakan saya dari cara awak pandang saya pada masa tu... jadi, saya memang ada peluang untuk dapatkan awak."
Amir seterusnya diam dengan agak lama. Dia tertunduk malu, langsung tidak berani dia memaling ke arahku.
"Amir... are you allright?" Tanyaku dengan perlahan. Dia kemudian memandang terus kepadaku. Sekali lagi aku dapat merasakan bahawa dia mempunyai sesuatu yang mahu diluahkan kepadaku. Tetapi dia tidak dapat meluahkannya...
"Jawapannya, 'ya'." Ujarku pendek.
"Apa?" dahinya terkerut seribu.
"Jawapannya 'ya'... awak tidak bertepuk sebelah tangan. Dan 'ya', saya juga sukakan awak." Kataku dengan nada yang tenang dan yakin. Aku mula sedar bahawa perkataan aku dan kau terus lenyap dari kamus kata-kataku kepadanya.
Amir terseyum manis. Wajahnya tiba-tiba berubah puas, tidak serisau tadi.
"Jom kita balik!" Amir menyarankan. Aku mengangguk setuju.

Pada malam itu kami cepat-cepat berjalan ke arah Brompton Square. Sebaik sahaja Amir membuka pintu rumahnya, dia terus menutup pintu rumahnya itu dari dalam. Seterusnya dengan penuh ghairah dia telah memegang kepalaku dengan erat, lalu terus dia mengucupku.
Aku membalas kucupan hangatnya itu. Kucupan yang pertama aku rasakan sejak aku ditinggalkan abang Zami kira-kira empat tahun yang lepas... 

Bersambung...

No comments:

Post a Comment