Monday, July 9, 2012

NAFAS : Bab 22

Bab 22

Aku kini telah menetap di Pandan Indah bersama Rezal dan dua orang rakannya yang lain. Kami berempat dapat hidup tanpa apa-apa masalah, memandangkan kami satu kepala.
Pada mulanya memanglah agak kekok rasanya tinggal di sana, lebih-lebih lagi kerana kawan-kawan serumahku satu persatu mula menaruh minat terhadapku. Rasa rimas juga pada mulanya.
Johari, seorang tukang masak di sebuah restoran terkemuka di Bangsar adalah teman serumahku yang mula-mula sekali memberanikan dirinya untuk menyuarakan minatnya terhadapku. Kemudian giliran Fadzil pula, seorang programmer di Andersen Consulting.
Mereka nampaknya tak faham-faham lagi bahawa aku telah berpunya. Menurut mereka, itu semua tak penting, lagipun Amir jauh di UK, kata mereka. Kerana sebab-sebab inilah aku nyaris-nyaris mahu bergaduh dengan mereka. Terutamanya dengan Fadzil (seringkali dia berdegil ingin aku dijadikannya teman hidupnya) yang aku rasa boleh menjadi saudara kembar Chef Wan, kerana wajah serta perwatakkannya sama seperti tukang masak yang terkenal itu.
Jika aku tidak berpunya sekalipun, tidak mungkin aku akan memilih mereka sebagai calon kekasihku. Sebab pertama, kerana mereka berdua berperawakan lembut, dan kedua kerana mereka adalah teman serumahku sendiri!

Memang tidak aku nafikan, kami berlima (termasuk Majid) sering ke mana-mana bersama. Hubungan kami akrab, walaupun pada hari-hari biasa aku sering mengurungkan diriku di dalam bilik sambil ber ICQ dengan Amir. Pada hari hujung minggu pula, kami sering ke BB bersama.

***

Rasa rinduku terhadap Amir akhirnya terubat buat seketika tatkala Amir pulang ke Malaysia untuk cuti Christmasnya. Sebelum dia pulang ke UK untuk memulakan penggal Hillary di Oxford, dia sempat membawaku berjumpa dengan datuknya yang menetap di Bukit Tunku, Dan yang paling penting, dia akhirnya telah membawaku berjumpa dengan bapanya, Encik Mansur, CEO BumiMas, yang selama ini tidak pernah bersemuka denganku sejak beberapa bulan aku bekerja di BumiMas.
Hanya setelah aku diketemukan dengan Encik Mansur dan Dato' Abdullah, barulah aku mula sedar bahawa Amir akan mengambil tempatnya pada satu hari nanti. Bahawa Amir, kekasihku sendiri aku menjadi orang yang paling berkuasa di syarikat tempatku bekerja.
Pada masa dua minggu Amir di Malaysia, dia telah berkali-kali menyarankan supaya aku membenarkannya membelikanku kereta.
"Risau saya tengok awak naik motor." Katanya sewaktu kami baru sahaja selesai melabuhkan bahtera kami di dalam kamarku.
"Alah... nak risaukan apa?"
"Naik motor kan bahaya? Jauh pulak tu awak kena ulang alik dari Pandan Indah ke Sri Damansara." Dahi Amir terkerut-kerut. Aku memikirkan tentang kereta Poshe dari koleksi Dato' Abdullah yang telah dipinjam Amir (yang kini ada di hadapan rumah sewaku). Kemudian membandingkannya dengan motor kapcai Kawasaki yang aku gunakan sekarang ini. Memang kedudukan kami jauh berbeza. Perbezaan taraf dan kedudukan diantara aku dan Amir semakin aku rasakan sewaktu aku pulang ke Malaysia.
"Tak apalah bang... lagipun bukannya saya mampu nak beli kereta." Sebutku dengan iklas.
"Saya tolonglah... saya bayarkan deposit... okay?"
"Tak apalah bang."
Aku dapat lihat Amir mula kelihatan sedikit terganggu. Mungkin dia mahu naik darah.
"Saya nak tolong pun tak boleh ke?" Dia mula menengkingku.
Aku diam sejenak. Tak ada gunanya aku membuat dia marah-marah kepadaku.
"Okaylah bang... ikut suka hati abang." Aku akhirnya mengalah dan terus mencium pipinya.
Pada hari esoknya, dia telah menyarankanku supaya mendapatkan sebuah kereta 'second-hand'. Tanpa terlebih dahulu bersetuju denganku, dia telah memilih sebuah kereta Honda VTEC berwarna hitam yang agak tidak begitu digunakan oleh pemilik asalnya. Menurutnya, dia telah membeli kereta tersebut dari Paksunya yang kini ingin membeli kereta Lotus Elise. Dan ya, dia telah membeli kereta tersebut tanpa meminta walau sesen pun dariku...

Sudah tentunya kehadiran Amir telah menimbulkan rasa cemburu di kalangan teman serumahku. Lebih-lebih lagi di dalam masa dua minggu Amir disampingku, perabot dibilikku hampir kesemuanya ditukar ganti. Paksu Amirlah yang telah menyarankan Amir supaya memilih beberapa jenis perabot yang sesuai untuk bilikku.
Aku telah berkali-kali meminta Amir supaya jangan membazirkan wangnya semata-mata untukku. Tetapi dia berdegil tidak mahu mendengar permintaanku.
Amir pulang ke UK beberapa hari sebelum cutinya tamat. Aku memberitahunya berkali-kali bahawa kalau boleh aku mahu mengikutnya pulang ke UK dari terus hidup di KL tanpanya. Hidupku terseksa tanpa kehadirannya di sisiky. Dia telah menyuruhku bersabar, kerana dia hanya mempunyai dua semester lagi sebelum pengajiannya itu selesai. Aku akur kepada nasib yang menimpa diriku. Mungkin benar katanya. Mungkin aku perlu banyak bersabar.

***

"Laki kau jadi balik ke?" Tanya Fadzil kepadaku sewaktu aku sedang memandu ke arah BB.
"Tiga minggu nanti dia baliklah. Dia masih bercuti dengan keluarganya di New York." Jawabku sambil menoleh ke arah Majid yang sedang duduk di sebelahku.
"Wah... untunglah kau. Entah apa-apa hadiah nanti dia bawak balik nak spedo kau." Kata Fadzil dengan sinis.
"Aku sayang dia bukan sebab tu semua." Aku menjawab cepat-cepat. Benci aku dianggap sebagai tukang kikis, terutamanya oleh Fadzil yang suka sahaja menganggap yang bukan-bukan terhadap hubungan aku dan Amir.
"Alah nyah... kalau dah gayboy tu, gayboy jugak. Bagitahu mak gayboy mana yang tak suka dispedo?" Kata Fadzil kepadaku lagi, seolah-olah masih tidak puas hati dengan jawapan yang telah diberikan kepadaku tadi.
Aku mengeluh. Malas aku mahu bergaduh dengan Fadzil yang lembut itu. Kalau bergaduh nanti, aku akan dibebelnya sehingga aku mengalah. Bukanya aku tak suka mengalah, cuma aku tidak suka mendengarnya membebel seperti seorang perempuan tua yang baru kehilangan suami.
Seperti biasa, (aku kata biasa, kerana jika Amir tidak ada bersamaku, aku akan ke BB hampir pada setiap hujung minggu) kami tiba ke BB pada pukul 12.30 pagi. Aku sering ke BB semata-mata kerana ingin menari, bukan kerana sebab-sebab yang bukan-bukan.
Pada malam minggu itu, seperti biasa BB sesak dengan pengunjung. Majid dan aku terus berpisah dengan Rezal, Johari dan Fadzil. Mereka bertiga lebih suka dengan kumpulan mereka sendiri. Lagipun, mereka kadang-kala suka 'berangkut'. Maksud aku, membawa pulang sesiapa yang bersedia untuk pulang ke kamar mereka.
Aku dan Majid menari bersama. Majid kebiasaannya tidak berapa suka dengan seleksi lagu-lagu yang terdapat di BB. Dia lebih suka dengan apa yang dimainkan di kelab malam Liquid yang terletak di Annex di Central Market. Tetapi kami berdua jarang ke sana. Kerana menurut Majid, kalau nak cuci-cuci mata di Liquid, tak payahlah... tak ada apa yang menarik di sana.
Sewaktu aku sedang menari, aku mula sedar bahawa Majid tersegih-sengih ke arah aku.
"Kenapa nih... tersengih macam kerang busuk?" Aku menjerit kuat ke telinganya untuk memastikan bahawa dia akan dengar kepada kata-kataku itu.
"Ramai muka-muka baru pulak malam ni." Balas Majid.
"Biasalah... adik-adik baru nak naik."
"Abang-abang jantan pun ramai!"
"Gedik lah kau ni!" Aku menegurnya sambil menjeling.
"Ada abang nih... hensem giler. Badan tough! Asyik tengok-tengok kau saja! Dah sepuluh minit aku perhatikan dia asyik tengok kau saja dari jauh." Majid memberitahuku. Dia senyum nakal. "Tasssstteeee gituh!"
"Perlu ke?" Sahutku. Aku sengaja tidak mahu menoleh ke arah abang yang dimaksudkannya itu.
"Hensem giler lah sundelll! First time aku tengok muka dia kat sini!" Kata Majid bersungguh-sungguh.
"Perlu ke aku dengar ni semua?" Aku menanyainya sekali lagi.
"Hah... tu! Dia tengok kau lagi! Macam nak makan tengok tengok kau!"
"Mana?" Tanyaku kemudian.
"Belakang kau... sebelah kiri. Abang tu pakai baju putih." Jawab Majid.
Aku akhirnya menoleh ke arah yang disebutkan Majid. Aku mencari-cari abang yang menurutnya sejak tadi sedang memerhatikanku.
Aku tiba-tiba berhenti menari. Wajahku terus berubah. Mukaku pucat dan kaku.
"Kenapa, Zam?" Tanya Majid sambil menggoyang-goyangkan bahuku.
"Tak ada apa-apa..." Aku menggelengkan kepalaku. "Kau pergi join Rezal dengan group steward hanjeng dia tu... aku rasa aku kenal abang tu."
Majid menaikkan kedua belah bahunya lalu berjalan ke arah Rezal yang sedang berkumpul dengan rakan-rakannya berdekatan dengan bar.
Dadaku berdegup kencang. Aku berjalan perlahan ke hadapan.
"Abang Zami..." sebutku memanggil namanya.
"Zam." Jawabnya pendek. Bau minuman keras terkeluar dari mulutnya. "Kita berbual di luar?"
Aku mengangguk perlahan. Lalu berjalan keluar. Aku tahu bahawa Majid dan kawan-kawanku yang lain sedang memerhatikanku. Tetapi aku langsung tidak menoleh ke arah mereka.
Aku membawa abang Zami ke gerai Kak Ara yang terletak di sebelah Pizza Hut. Kami berdua duduk di sana sambil aku memesan minuman. Aku terasa terlalu haus. Tekakku kering-bukan kerana penat menari, tetapi kerana terasa tertekan.
Sememangnya pada satu masa yang lalu aku betul-betul membencinya. Pernah aku terfikir untuk pelbagai-bagai cara untuk membalas dendam terhadap dirinya. Kerana dialah diriku merana. Kerana dialah hatiku retak seribu. Tetapi semua ini telah aku lupakan sama sekali sebaik sahaja aku mula mengenali Amir.
"Abang ternampak kau di London--" ucap Abang Zami. Memulakan perbualan.
"Saya tahu bang." balasku dengan suara perlahan. Beberapa orang gayboy yang sedang duduk di warung tersebut sedang memaling ke arah kami. Terutamanya kepada abang Zami. Mereka tersenyum-senyum mahu menggoda.
"Kau dah banyak berubah Zam... seperti mana yang telah abang jangkakan sejak kali pertama abang berjumpa dengan Zam di Terengganu dulu--"
"Itu cerita sembilan tahun lepas, bang. Tentulah saya dah banyak berubah."
"Nak minum apa dik?" Tanya kak Ara yang sarat mengandung kepadaku.
"the tarik satu dan Milo Ais satu." Ucapku. Aku masih ingat lagi kepada minuman Milo ais kegemaran abang Zami.
"Kau sekarang dah semakin kacak dan segak. Tak seperti dulu..." jelas abang Zami sebaik sahaja kak Ara beredar dari meja kami.
"Dulu saya kebudak-budakkan."
"Bukan itu maksud abang--"
"Dulu saya mentah, bang. Dah lah bang... jangan diingat kisah lama. Saya dah lupakan benda-benda tu semua." ucapku dengan nafas yang sama.
Aku sendiri dapat melihat bahawa abang Zami ternyata kelihatan lebih matang dari abang Zami yang aku kenali dahulu. Jika dahulu dia tidak bermisai, kini dia bermisai tebal. Badannya pula aku lihat lebih padat dari dahulu. Di dalam usia awal 30-annya itu, aku rasa dia kelihatan lebih baik dari mana-mana lelaki yang seusia dengannya. Kerana tubuhnya masih tegap dan sasa.
"Kau tak faham, Zam." Katanya dengan perlahan. Aku dapat merasakan bahawa dia sedang mabuk.
"Saya tak perlu faham lagi. Sudah tidak ada apa-apa hubungan di antara kita berdua, bang. Lagipun saya dah ada boyfriend di UK." Sambil menunjukkan kepadanya cincin perak yang diberikan oleh Amir.
Abang Zami menarik nafasnya panjang-panjang. Dari raut wajahnya, aku tahu bahawa dia kecewa mendengar kata-kataku tadi.
"Boyfriend mat saleh?" Dia menanyaiku dengan sinis.
"Tak... budak Melayu. Dia ada setiap ciri-ciri seorang lelaki yang saya mahukan selama ini. Nama dia Amir. Dia ada di Malaysia Hall dengan saya ketika abang--"
Kak Ara tiba-tiba muncul membawa minuman yang telah kami pesan. Aku sempat mengucapkan terima kasih kepadanya sebelum dia berjalan ke meja sebelah.
"Akhirnya hanya aku yang tak berteman." Mata abang Zami kuyu.
"Dah lah tu bang... abang tu mabuk." Kataku kepadanya. "Sejak bila abang belajar minum ni?"
"Sejak Zam tinggalkan abang."
Sah lah dia mabuk, fikirku di dalam hati.
"Zam tahu abang masih sayangkan Zam?" Katanya dengan serius kepadaku. "Zam masih ingat lagi dengan kata-kata abang dulu di Terengganu... bahawa Zam adalah milik abang sampai bila-bila!"
"Mengarut lah abang ni." Aku menegaskan. Aku marah kerana dia masih lagi mahu mengingatkan cerita-cerita lama aku bersamanya dahulu.
"Lagi sikit abang mahu pukul budak yang menari dengan kau tadi kerana abang cemburu." Nafas abang Zami turun naik. Gelabah juga aku dengar dia mahu memukul Majid. Lebih-lebih lagi di dalam keadaan mabuknya begitu.
"Abang tak perlu ada rasa cemburu dengan saya. Dah saya katakan... kita dah tak ada apa-apa lagi."
"Dah lama abang cari Zam... abang akhirnya ke sini kerana ada orang beritahu kepada abang, Zam selalu ke sini."
"Siapa pulak yang beritahu ni?" Tanyaku ingin tahu.
"Adi.." jawab abang Zami sambil memandang tepat ke wajahku.
"Oh... pondan MAS tu." Kataku dengan nada benci.
"Aku terpaksa tidur dengannya semata-mata untuk dapatkan dia beritahu kepada aku di mana kau sekarang."
Aku mengeluh. Sejak dahulu lagi aku begitu bencikan kepada Adi kerana perangainya yang buruk itu. Setiap kali Adi mahu ke rumah sewaku untuk melawat Rezal ataupun Fadzil mahupun Johan, aku pasti akan keluar sebentar dari rumahku sendiri. Aku tak mahu bersemuka dengannya langsung.Tetapi aku tidak pernah pula menyangka bahawa Adi sanggup mempergunakan abang Zami begini semata-mata untuk menidurinya.
"Abang tahu Zam dah jadi orang besar sekarang... naik kereta besar. Gaji besar... bukan macam abang. Dari dulu sampai sekarang abang masih macam ni jugak!"
"Saya tak mahu dengar ini semua... mengarut saja abang ni. Saya berjumpa dengan abang kerana saya mahu ajak berbual. Sebagai kawan. Saya tak mahu ingatkan cerita-cerita lama kita. Zam yang sedang duduk di hadapan abang sekarang ini bukan Zam yang abang kenali dulu!" Kataku dengan suara yang tegas.
"Kau memang dah banyak berubah, Zam..." Kata abang Zami sambil memegang pipinya yang penuh dengan bulu-bulu kasarnya itu. "Zam... abang mahu Zam pulang kepada abang."
Aku berdiri dari tempat dudukku. Aku mengeluarkan wang dari dompetku lalu meletakkan sejumlah wang di atas meja untuk membayar ongkos harga minuman yang telah aku pesan tadi.
"Saya betul-betul tak suka abang mabuk macam ni!" Kataku dengan nada yang marah. "Dan kalau boleh, saya tak mahu abang cari saya lagi!" Aku terus bergegas berjalan ke arah BB. Aku meninggalkan abang Zami keseorangnya di hadapan warung.
"Siapa abang tu, nok?" Tanya Hazlee yang bertembung denganku. Dia menjenguk-jenguk ke arah abang Zami yang sedang duduk di hadapan warung. "Taste nyerrrr!"
"Aku punya ex..." jawabku sambil menjeling ke arah abang Zami yang sedang termenung jauh ke hadapan. Entah apa sahaja yang sedang difikirkannya pada waktu itu.
"Oh, tidak!" Getusnya sambil cuba membuat lawak. "Mesti segem kan?" Dia menyoalku kemudian.
Aku tidak menjawab soalannya yang bukan-bukan itu. Aku mahu terus masuk ke BB. Jauh dari abang Zami.
"Kau pergilah layan dia yang tengah mabuk tu Hazz... aku dah malas nak layan dia." Kataku kemudian, sebelum mengorak langkah untuk masuk kembali ke dalam BB.
Di dalam BB aku terus mencari Majid. Lalu aku ajaknya menari. Mahu sahaja aku lupakan tentang abang Zami dari ingatanku.
"Siapa abang tu tadi?" Tanya Majid kepadaku.
"Ex aku." jawabku ringkas.
"Maksud kau... ex kau abang Zami yang pernah kau ceritakan kepada aku dulu?" Majid meminta kepastian.
Aku mengangguk. Tatkala itu aku mendapati Hazlee sedang membawa abang Zami masuk ke BB. Abang Zami aku lihat sedang berbual-bual dengannya di tepi bar.
"Hemsem giler abang Zami tu. Aku ingatkan biasa saja..."
Aku diam sahaja. Aku terus menari. Sesekali aku dapat melihat abang Zami menoleh memandang ke arahku. Entah mengapa, mungkin kerana sengaja ingin menyakiti hatinya, aku menari rapat-rapat dengan Majid.
Lebih kurang setengah jam aku menari dengan Majid, tiba-tiba Hazlee bergegas ke arahku.
"Abang Zami... dia mabuk, nok! Muntah lahak di luar BB... kau boleh tolong mak tak? Kesian mak tengok dia macam ni." Hazlee nampak risau. Terkerut-kerut dahinya aku lihat.
Aku berjalan keluar mengekori Hazlee dari belakang. Majid ada bersamaku, mengekoriku dari belakang.
Di luar BB. Aku dapat melihat abang Zami sememangnya mabuk. Dia berjalan terhoyong hayang ke arah gerai kak Ara.
"Dia minum lagi ke Hazz?" Aku menanyai Hazlee.
"Dia minum empat botol Calsberg depan mak, tadi. Sesuatuh gituh!" Hazlee memberitahuku sambil meraba-raba kepalanya yang sedikit botak itu.
"Dah kau tahu dia mabuk... kenapa kau bagi dia minum lagi?" Getusku marah-marah.
"Dia garang lah nok. Tadi dia marah-marah bila dia tengok kau berlezzi dengan Majid tadi. Sesuatuh okay kau berdua tadi! Perlu ke ada adengan lesbian dalam BB tadi? Harus BB ni tadi terbakar kena panah petir!"
"Hanjenggg... mak top okay!" Ujar Majid sambil tersenyum mahu dibawa ketawa.
Aku tak ketawa sama. Aku anggap perkara ini bukan boleh dibawak main-main.
"Nok... tadi mak sempat raba dia... barang kemas very der segem, okay!" Hazlee memberitahu kepada Majid sewaktu aku cuba mendekati abang Zami. Aku tidak mengendahkan gelagat mereka berdua.
"Abang... abang dah okay?" Tanyaku kepada abang Zami dengan perlahan. Dia cuba menjawab soalanku. Tapi aku langsung tidak memahami kata-katanya. Bekas muntah melekat di atas baju putihnya.
"Mak bawak dia balik Selayang boleh tak?" Tanya Hazlee kepadaku.
"Khelessss... ala-ala mintak berkat bekas isteri gituh." Ujar Majid berseloroh. "Nak bawak jantan berangkut pun masih nak mintak berkat ke nok? Perlu ke benda ni semua?"
Hazlee menjeling ke arah Majid sambil berkata:
"Sesuatuh okay mulut kau! Perlu ke mak dengar statement hanjeng kau tu?"
"Aku akan bawak dia balik Pandan Indah. Aku tak boleh tinggalkan dia kat sini macam ni. Nanti entah apa-apa yang terjadi nanti." Kataku kepada Majid dan Hazlee.
Aku meletakkan lengan abang Zami ke bahuku lalu aku membawanya berjalan ke arah tempatku meletak kereta.
"Hazz, boleh tolong beritahu kepada Rezal dan kawan-kawan aku yang lain aku nak balik dulu. Suruh mereka balik naik teksi sahaja." Perintahku kepada Hazlee.
Hazlee mengangguk.
Majid dan Hazlee menolongku memasukkan abang Zami ke dalam kereta. Tanpa di suruh, Majid duduk di belakang keretaku di sebelah abang Zami.
"Nok... bila dia sedar nanti. Kata kepada dia... Hazz kirim salam, okay? Jangan lupa bagi nombor telefon mak dekat dia!" Ucap Hazlee kepadaku sebelum aku menghidupkan engin kereta.
Aku dapati, sewaktu di dalam perjalanan pulang ke Pandan Indah, abang Zami banyak meracau. Tidak pernah aku melihatnya berkeadaan begini. Banyak kali dia mengatakan bahawa dia masih sayangkan aku.
"Ishh! Dia muntah lagi!" Ujar Majid kepadaku dengan tiba-tiba. Bau muntah memenuhi kereta. Cepat-cepat aku membuka cermin kereta. Dari cermin di hadapanku, aku mendapati abang Zami telah muntah ke baju Majid.
Sampai sahaja kami di rumah, aku dan Majid memapah abang Zami masuk ke dalam rumah.
"Nak letak dia kat mana?" Tanya Majid.
"Bilik aku." Jawab aku perlahan.
Kami memapah abang Zami naik ke bilikku yang terletak di tingkat dua. Tubuh abang Zami yang tinggi sasa dan berat itu membuatkan kami termengah-mengah memapahnya sehingga ke dalam bilik.
Di dalam bilik, aku dudukkannya di atas kerusi.
Aku dapati baju abang Zami dan seluarnya terkena muntah.
"Dia kena dibersihkan. Kita tak boleh biarkan dia macam ni sahaja." Saran Majid. Pada waktu itu, abang Zami ku lihat tertidur di atas kerusiku.
"Kau pun sama jugak." Kataku kepadanya. "Baju kau pun kotor kena muntah dia. Kau baik pergi mandi dan tukar baju kau tu."
Majid mengangguk, lalu meminta baju, kain pelikat dan tuala dariku. Setelah apa yang diperlukannya itu aku serahkan kepadanya, Majid terus masuk ke dalam bilik mandi.
Aku mengeluh melihatkan keadaan abang Zami. Entah mengapa, kasihan pula aku melihatnya berkeadaan begini.
Lalu dengan berhati-hati aku membuka bajunya. Aku dapati badannya masih setegap dahulu. Mungkin lebih padat, fikirku. Terutamanya pada bahagian dadanya dan otot perutnya yang semakin tebal kulihat. Tatkala melihatkan dadanya yang berbulu itu, teringat pula aku kepada zaman-zaman remajaku yang pernah ku habiskan mengingati setiap lekuk dan jurang di tubuhnya yang pernah menjadi padang permainanku dahulu.
Seluarnya aku buka. Maka terpacul kejantanannya yang dapat ku lihat tersimpan kemas di dalam seluar dalam putihnya.
Setelah pakaian abang Zami berjaya aku tanggalkan. Aku turun sebentar ke dapur untuk mengambil tuala. Lalu kubasahkan tuala dengan air suam. Badan abang Zami aku lap dengan tuala tersebut untuk menghilangkan bau muntah yang melekat di tubuhnya.
Pada waktu itu, tiba-tiba aku dengar pintu pagar di buka. Kemudian, pintu hadapan pula di buka. Beberapa detik selepas itu, aku dapati Fadzli sedang berjalan melintasi bilikku untuk masuk ke biliknya. Dia menjeling dengan cepat ke arahku. Kemudian dia tersipu-sipu mengambil sesuatu di dalam biliknya sebelum bergegas keluar.
Aku melihat dia keluar menutup pintu pagar dari tingkap bilikku. Kemudian aku dapati dia masuk ke dalam sebuah kereta Kancil berwarna merah. Pasti dia dibawa berangkut entah ke mana pada malam ini, fikirku di dalam hati.
"Kau dah bersihkan dia?" Tanya Majid sambil mengeringkan rambutnya yang panjang itu dengan tuala.
"Dah... kita tidur bawah sajalah. Biar dia tidur sini malam ni." Kataku kepada Majid.
Majid mengangguk setuju. Kemudian dia menolongku mengangkat abang Zami ke atas tempat tidurku.
"Haiyoh... very der nalla. Kurang-kurang tujuh inci ni!" Sebut Majid sambil matanya memandang tepat ke arah busut abang Zami. Aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalaku sambil menyelimutkan abang Zami.
"Sudah!" Kataku. "Aku beritahu Zaha yang kau nih nak menyundal kat KL ni... baru kau tahu!" Aku kemudian menutup pintu bilikku. Majid tersengih-sengih sendiri.
Kami tidur di ruang tamu pada pagi itu. Aku dapati, rakan-rakan serumahku yang lain tidak pulang ke rumah. Mungkin, seperti Fadzil, ada orang yang bawa Rezal dan Johari pulang berangkut ke tempat lain... mungkin itulah sebabnya. 

Bersambung...

No comments:

Post a Comment