Tuesday, July 10, 2012

NAFAS : Bab 23

Bab 23

Pada tengahari itu, abang Zami bangun dari tidurnya lalu mengadu sakit kepala. Majid menyarankan kepadaku supaya aku menyediakan air dan panadol untuknya. Kata Majid, beginilah keadaannya pada pagi hari selepas mabuk pada malam sebelumnya.
"Apa yang telah berlaku semalam?" Tanya Abang Zami kepadaku sewaktu dia sedang duduk di ruang tamu bersama kami. Dia memicit-micit kepalanya. Dia berada di dalam keadaan berlengging. Dia hanya memakai kain pelikat yang telah aku letak di sebelah katilku. Mata Majid liar memandang kepada tubuh abang Zami yang sasa itu.
"Abang mabuk... jadi kami lah yang bawa abang pulang ke sini." Jawabku.
"Abang mintak maaf kalau abang menyusahkan kau berdua." Kata abang Zami sambil minum air.
"Tak apa bang," Jawab Majid sambil tersenyum gatal. Seolah-olah mengejek cara aku menjawab soalan abang Zami tadi. Majid memang suka bergurau.
"Mana kawan-kawan kau yang lain?" Tanya abang Zami sambil mengurut-ngurut dahinya.
"Tak balik lagi... tapi selalunya sekejap nanti baliklah diorang tu nanti." Jelasku.
"Aku pun nak balik nih..." Ujar Majid kepadaku.
"Okaylah... nanti aku hantar." Balasku kepada Majid. "Abang lapar tak? Kita keluar makan tengahari?" Kataku kepada abang Zami pula.
"Boleh jugak." Kata abang Zami. Dahinya terkerut seribu menahan sakit peningnya pada ketika itu.
"Kau nak makan kat mana?" Aku memaling ke arah Majid.
"Tak apalah... aku sebenarnya kena keluar dengan abang aku, Salina, dan kak Nita tengahari ni." Majid memandang ke arah jam tanganya.
"Pukul berapa kau kena jumpa mereka?" Aku menanyainya.
"Sebenarnya... sejam lagik. Sebab tu aku nak suruh kau hantar aku balik cepat-cepat." Ujar Majid.
Aku menggosok-gosok hidungku, lalu menyuruhnya cepat-cepat bersiap jika dia tidak mahu lambat.

Sebaik sahaja aku menghantar Majid pulang ke kondominiumnya di Pantai Dalam,aku terus memandu keretaku menuju ke KLCC. Abang Zami memakai baju dan seluar yang telah aku pinjamkan kepadanya tadi. Aku telah memberinya pakai baju dan seluar Amir yang ada kusimpan di dalam laciku. Kedua-dua mereka memakai baju saiz yang sama...
Setibanya di KLCC, aku telah membawa abang Zami makan di California Pizza. Tempat makan kegemaran Amir sewaktu dia berada di KL.
"Abang malu duduk depan kau sekarang." ucap abang Zami setelah lama dia mendiamkan dirinya sejak keluar dari rumahku tadi.
"Nak malukan apa ni?" Tanyaku. Aku menjenguk-jenguk melihat samada makanan yang aku pesan tadi akan sampai ke meja kami. Aku lapar kerana tak makan sejak pagi tadi.
"Abang malu kepada segala apa yang telah berlaku selama ini..."
"Segalanya apa ni bang?" tanyaku ingin tahu. Takut benar aku jika dia mula mahu merepek seperti semalam.
Abang Zami mengeluh panjang. Pizza yang aku pesan kini telah di hidangkan di hadapan kami. Sekeping pizza barbeque dan sekeping lagi pizza ala Thai.
"Sebenarnya Zam tak tahu cerita sebenarnya. Bukan maksud abang... bukan ingin abang untuk meninggalkan Zam dulu." Suara abang Zami perlahan.
"Yang sudah tu, sudahlah bang." Ucapku, sambil memotong pizza lalu ku letakkan pizza yang telah aku potong ke atas pinggan abang Zami.
"Tapi Zam berhak tahu kisah sebenarnya."
Aku meneguk teh ais yang aku pesan tadi. Suasana California Pizza agak sibuk pada tengahari itu. Aku memaling sekejap ke arah air pancut di taman yang terletak di belakang KLCC sebelum berkata:
"Apa yang saya perlu tahu?"
Abang Zami menelan air liurnya. Dia meraba-raba pipinya itu sebelum dia berkata:
"Abang tak pernah berniat langsung untuk meninggalkan Zam."
"Tapi abang tinggalkan saya. Abang tinggalkan saya pada masa saya benar-benar perlukan abang."
"Zam... percayalah cakap abang tadi." Sebut abang Zami. Dia langsung tidak menyentuh makanannya. "Abang tinggalkan Zam kerana keadaan terlalu memaksa."
"Keadaan memaksa apa pulak ni? Aku berdecit.
"Beberapa bulan sebelum abang tinggalkan Zam dahulu, abang ada kenal dengan seorang doktor. Lau namanya. Dia mula berkenalan dengan abang melalui seorang kenalan abang di Port Dickson. Memang pada mulanya abang keberatan untuk berjumpa dengannya, tetapi abang akhirnya termakan pujuknya lalu berjumpa dengannya di Seremban."
"Apa yang terjadi selepas itu?" Tanyaku inginkan penjelasan yang lancut.
"Kami duduk berbual... itu sahaja pada mula-mulanya. Memang pada mulanya abang dapati Lau tu baik orangnya. Jadi abang berjumpa dengannya untuk kali yang kedua. Pada masa itu dia ingin kenal dengan lebih rapat tentang latar belakang abang. Jadi abang ceritakan kepadanya tentang hubungan kita berdua. Abang tak tahu kenapa abang lakukan ini semua. Mungkin abang terlalu rindukan Zam. Abang terlalu mahu luahkan perasaan sayang abang terhadap diri Zam kepada Lau. Mungkin itulah sebabnya."
"Jadi... bila masanya abang terus mahu jadikan dia kekasih baru abang?" Tanyaku dengan nada yang sinis.
"Zam... abang tak pernah terfikir untuk jadikan dia kekasih abang. Memang selama ini Zam lah yang abang sayang."
"Abang dah mula mengarut lah nih." Aku menegurnya.
"Lau... kerana terlalu inginkan abang menjadi bahan permainannya, telah mengugut akan memberitahu kepada pihak tentera tentang diri abang dan hubungan kita berdua. Malah dia mengugut mahu memberitahu pihak sekolah Zam tentang diri Zam dengan abang." Abang Zami kelihatan sedih. Dia memalingkan wajahnya ke arah air pancut dan taman di hadapan kami. "Abang tak mahu Zam terlibat sama... jadi abang terpaksa mengikut segala kehendak dia."
Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Sukar untuk aku mempercayai kata-katanya itu. Tetapi setiap apa yang berlaku terhadap diriku selama ini kini mula dapat aku fahami dengan sedalam-dalamnya.
"Bagai nak gila diri abang pada waktu itu, Zam. Pada mulanya mahu sahaja abang bunuh si Lau tu. Tapi apakan daya abang... biarpun apa yang abang lakukan, Zam pasti akan terlibat sama. Abang tak mahu masa depan Zam gelap kerana abang. Abang terpaksa akur kepada keadaan." Suara abang Zami semakin perlahan. Dia cuba menahan rasa sebak yang telah lama terbuku di dalam hatinya. "Abang lebih rela dipergunakan seperti pelacur demi kebahagiaan Zam. Dari melihat Zam--"
Abang Zami berhenti dari meneruskan kata-katanya. Seorang pelayan berdiri di sebelah meja kami lalu menanyakan kepadaku jika makanan dan minuman yang telah disediakan baik-baik belaka. Aku hanya membalas dengan mengangguk.
"Abang pada mulanya telah memberitahu kepada Zuraimi, abang Zam tu bahawa abang sudah ada kekasih dan akan bertunang di Kedah. Abang fikirkan Zam akan faham, lalu akan melupakan diri abang ini. Seboleh-bolehnya abang cuba menjauhkan diri abang dari Zam, kerana abang takut Lau akan menjadikan Zam mangsanya pula. Tapi Zam masih tak faham-faham... Zam masih mahu juga menemui abang."
Aku kini dibawa untuk mengingati peristiwa aku bersamanya di Port Dickson. Dia telah menceritakan satu persatu peristiwa tersebut dari pandangan matanya sendiri.
"Abang sepatutnya ceritakan kepada Zam tentang perkara yang sebenar dari mula lagi!" Kataku sambil menggosok-gosok bahagian belakang leherku.
"Zam sedar bahawa hati abang terluka apabila abang melukakan hati Zam dahulu?" Katanya dengan nada sedih. "Mungkin itu kelemahan yang ada di dalam diri abang. Mungkin abang fikirkan Zam tidak akan boleh menerima kenyataan sebenar tentang nasib yang telah menimpa diri abang pada waktu itu. Lagipun pada waktu itu, Zam terlalu muda... Zam kena ingat itu semua. Abang sendiri masih muda. Sama umurnya seperti Zam pada masa ini." Ujar abang Zami. Wajahnya penuh kesal.
Aku mengeluh. Sukar untuk aku terima cerita dari abang Zami ini. Tapi jauh di dalam lubuk hatiku, aku tahu abang Zami ikhlas memberitahu kepadaku tentang ceritanya ini. Aku tahu dia tidak membohongiku.
"Abang minta maaf jika abang telah mengecewakan Zam. Abang rasa bersalah--"
"Tak ada sesiapa yang bersalah di dalam hal ini bang." Aku memotong kata-katanya tadi. Kami berdua diam untuk beberapa minit.
"Abang mula belajar minum bila abang bersama Lau..." abang Zami menjelaskan sambil mengusap-ngusap misainya yang tebal itu. "Semasa abang bersama Lau... terasa begitu kotor diri abang ini dibuatnya. Abang terasa seperti pelacur murahan dibuatnya. Selepas Lau bosan dengan abang... terus abang ditinggalkannya begitu sahaja. Pada waktu itu, abang mula bertugas di KL."
"Saya tahu... ada orang yang bagitahu tentang hal ini kepada saya sewaktu saya di London." Aku teringatkan kepada Adi.
"Tapi Zam tak tahu abang cuba cari Zam bagai nak gila di KL ini. Sehinggakan abang sanggup ke rumah kakak Zam di Cheras. Kakak Zam lah yang memberitahu kepada abang yang Zam berada di UK."
"Saya ke UK pun kerana saya terlalu kecewa dengan abang. Saya mahu lari dari segala-galanya." Aku memberitahunya.
"Abang faham Zam kecewa dengan sikap abang. Tapi percayalah Zam... hati abang terguris apabila abang terpaksa meninggalkan Zam di warung di Port Dickson pada hari itu. Abang benar-benar rasakan seolah-olah hati abang ini dihiris-hiris."
Kepalaku mula terasa pening. Lidahku kelu.
"Sekali lagi abang minta maaf dari Zam. Abang harap Zam boleh maafkan segala kesilapan abang kepada Zam selama ini." Ucap abang Zami dengan ikhlas. Matanya tepat kepada mataku.
"Saya sememangnya dah lama maafkan abang." Aku menjawab ringkas.
"Sewaktu abang terjumpa Zam di London pada tahun lepas, abang rasa gembira teramat sangat. Gembira kerana melihat Zam sekarang dah menjadi seorang lelaki yang kacak dan segak--"
"Abang tentu tahu bahawa saya dah ada kekasih?" Aku mengingatkannya. Aku nampak dia merenung sejenak ke arah cincin yang tersarung di jari hantuku.
Aku melihat halkumnya bergerak-gerak. Matanya nampak sayu.
"Abang tahu... tapi kenapa Zam memilihnya? Kerana dia anak orang kaya? Kerana dia--"
"Bang... bukan kerana itu semua. Walaupun Amir anak nelayan seperti saya, walaupun dia tak berpelajaran sekalipun. Saya tetap sayangkan dia." Aku menjelaskan dengan ikhlas "Saya mula tertarik dengan Amir pada kali pertama saya berjumpa dengannya. Saya lebih tertarik kepadanya apabila saya mula mengenali tentang dirinya. Mungkin kami telah ditakdirkan untuk diketemukan, lalu bercinta sehingga ke hari ini..."
Abang Zami mengeluh.
"Saya boleh beritahu kepada abang tentang seribu kelemahan yang ada di dalam diri Amir. Dan seribu lagi kelebihan yang ada di dalam dirinya. Walau apa sekalipun, saya tidak akan meninggalkan Amir sampai bila-bila. Kerana saya menyintainya. Saya menyintainya bukan kerana harta, darjat atau apa sahaja yang dia ada... tapi kerana apa yang ada di dalam hatinya. Apa yang ada di dalam hatinya tidak ada di dalam diri abang. Kerana kalau abang ada hati dan perasaan... abang tidak akan mengecewakan saya dahulu. Abang tak akan tinggalkan saya begitu sahaja." Aku menjelaskan dengan panjang lebar. Suaraku tegas.
Abang Zami duduk diam memandang ke arahku. Tangannya aku lihat mengigil. Tidak dapat aku bayangkan perasaannya pada waktu itu. Aku tidak pasti samada dia sedih ataupun marah terhadapku.
"Lagipun, mungkin kita tidak ditakdirkan untuk hidup bersama. Jika abang tidak tinggalkan saya dahulu, mungkin saya tidak akan bercinta dengan Amir sekarang ini."
"Mungkin betul kata-kata Zam tu. Tapi ingat Zam... abang masih sayangkan Zam dan abang akan sayangi Zam sampai bila-bila."
"Kita masih boleh menjadi kawan, bang... tak salah jika kita berkawan."
"Sukar untuk abang terima kenyataan ini, Zam."
"Terima saja bang. Terima saja dengan seadanya."
"Abang pernah bersumpah tidak akan mencari sesiapa lagi selepas Zam--"
"Sudahlah tu bang... dibawakan mengucap." Aku menasihatinya.
"Abang tak akan kahwin mahupun mencari kekasih lain selepas ini... percayalah Zam."
Aku mengeluh panjang. Lalu berkata:
"Jika itu pilihan abang... saya tak boleh buat apa-apa... lagipun bang, bukan semua yang kita mahukan dalam hidup akan dapat kita kecapi. Dan abang mesti ingat, saya bukan milik abang lagi!"
Aku memberikan isyarat untuk membayar harga makanan yang aku pesan. Makanan di hadapanku langsung tidak aku jamah.
Aku rasa aku tak perlu berdebat dengan panjang lebar dengan abang Zami. Kerana apa yang dia mahukan sekarang dariku adalah supaya aku kembali kepadanya. Dan aku tidak mungkin boleh menerimanya kembali. Lebih-lebih lagi kerana aku terlalu sayangkan Amir. Aku tidak mahu nanti, kerana kehadirannya di dalam hidupku, hubungan aku dengan Amir akan rosak begitu sahaja.
Abang Zami telah memerhatikan sahaja gerak-geriku memberikan kad kreditku kepada seorang pelayan California Pizza. Sebentar kemudian, aku menandatangani resit yang diberikan kepadaku.
"Maaf jika saya tak boleh hantar abang pulang." Kataku sambil mengeluarkan kad perniagaanku di dalam dompetku. "Kalau abang perlukan apa-apa... telefon saja saya di pejabat."
Aku meninggalkan abang Zami di Calirfornia Pizza. Kali terakhir aku memaling ke arahnya, aku dapati dia hanya duduk diam di mejanya. Seolah-olah sedang bertakafur. Dia berwajah sedih. Di dalam hatiku, aku benar-benar berharap bahawa inilah kali terakhir aku bertemu dengannya.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment