Tuesday, June 26, 2012

NAFAS : Bab 9

Bab 9

Aku telah mengambil keputusan untuk ke KL sebaik sahaja aku mendengar desas-desus bahawa keputusan SPM akan diumumkan tidak lama lagi. Aku telah ke Cheras untuk duduk bersama Kak Ngahku sementara menunggu hari keputusan SPM tersebut diumumkan. Pada masa yang sama, aku begitu beria-ia benar ingin berjumpa dengan abang Zami. Terlalu rindu rasanya kerana sudah lebih kurang tiga bulan aku tidak menemuinya. Khabar beritanya juga tak aku dengari lagi, kecuali kata-kata abangku yang telah memberitahuku bahawa dia sudah mempunyai seorang kekasih wanita di kampungnya di Kedah. Satu kemungkinan yang tidak boleh aku terima, kerana aku yakin abang Zami bukanlah seorang lelaki dayus. Lagipun dia sangat-sangat menyintai diriku ini, lebih dari segala-galanya. Dan dia pernah berjanji kepadaku bahawa dia ingin memilikiku buat selama-lamanya.
Aku cuba menghubungi abang Zami. Tetapi abang Zami seolah-olah terlalu sibuk sehingga dia langsung tak ada masa untuk menghubungiku. Surat demi surat telah kuhantarkan kepadanya tetapi satu pun tidak dibalasnya. Mungkin dia ada operasi di sempadan, fikirku sendiri.

Hari aku menerima keputusan SPM ku sepatutnya menjadi hari-hari yang paling bahagia di dalam hidupku. Aku merasakan bahawa kejayaanku mendapatkan aggregate enam merupakan kejayaan yang tidak boleh aku raikan, kerana abang Zami tidak ada bersamaku untuk meraikan kejayaanku.
Sebaik sahaja aku menerima berita kejayaanku, orang pertama yang aku hubungi adalah abang Zami.
“"Bukan kah abang cakap, jangan suka-suka call abang! Zam nih suka sangat susahkan abang! Zam bukan budak kecik lagi!"” Ujar Abang Zami melalui corong telefon.
“"Tapi bang... ni penting!"”
“"Apa yang penting sangat ni Zam?" Katanya seperti menengking-nengking.
“"Zam dapat aggregate enam, bang!" Beritahuku dengan nada ceria.”
Abang Zami tidak menjawab. Dia diam buat beberapa detik yang agak lama sebelum menyambung dengan suara perlahan:
“"Baguslah Zam... tahniah."”
“"Boleh kita berjumpa ke bang? Kita jumpa esok ya?"
“"Tak boleh, Zam. Abang sibuk. Kita jumpa lain kali sahajalah!"”
“"Tapi bang!" Aku kecewa mendengar penjelasannya.”
“"Okaylah Zam... abang kena buat kerja nih. Kita cakap lain kali sahaja."
“"Bang--" belum sempat aku dapat menyambung, abang Zami sudah meletakkan ganggang telefon.

Pada malam itu, aku terasa begitu sunyi. Terasa jiwaku ini seperti dihiris-hiris dengan pisau. Aku bingung. Aku tak faham mengapa sikap abang Zami boleh berubah dengan mendadak sebegitu rupa. Sepanjang malam aku hampir tidak boleh tidur. Fikiranku asyik terbawa-bawa memikirkan perkara yang buruk-buruk sahaja tentang hubungan kami berdua. Pada malam yang sama, aku telah bermimpi bahawa akhirnya aku dapat bertemu dengan abang Zami. Aku bersemuka dengannya, tetapi abang Zami seolah-olah tidak dapat melihatku. Tatkala aku memanggil-manggil namanya, dia langsung tidak mengendahkan panggilanku. Seolah-olah dia tidak dapat merasakan kehadiranku di hadapannya.
Aku terus terkejut dari mimpiku itu di dalam keadaan berpeluh-peluh. Aku berselawat banyak-banyak. Entah mengapa, aku telah menangis seorang diri mengenangkan kepada mimpiku tadi.

Pada hari esoknya aku terus bertekad untuk ke Port Dickson untuk berjumpa sendiri dengan Abang Zami. Aku perlu berjumpa dengannya untuk memastikan bahawa keadaannya di sana baik-baik sahaja hendaknya.
“"Saya dapat aggregate enam, bang!"” Aku memberitahu kepada abang Zuraimi, sewaktu berjumpa dengannya di dalam kem.
“"Kau memang pandai Zam... tahniah!” Ucap abangku bangga. Dia sempat memanggil beberapa temannya yang rapat untuk melihat kertas keputusan peperiksaanku. Dia bangga dengan kejayaanku. Kawan-kawannya pula telah mengucapkan tahniah kepadaku.
"Abang Zami mana bang?" Tanyaku kepadanya setelah kawan-kawannya itu beredar pergi.”
"Kau nak jumpa dengan dia ke? Buat apa?"
"Tak ada apa-apa... saja nak jumpa."
"Kalau begitu... dia ada kat atas. Nanti aku pergi panggil dia turun pergi jumpa kau."”
‘"Sekarang lah bang!" Aku mendesaknya.
"Abangku tersenyum," dia tahu aku anak bungsu. Semua kemahuanku pasti akan dilayaninya keluargaku, termasuklah dia. Kemudian tanpa banyak soal dia pergi mendapatkan abang Zami untukku.
Abang Zami kelihatan terkejut tatkala dia melihatku berada di bereknya. Mukanya pucat.
"Okaylah, Zami, Zam... aku nak jumpa quarter Masters sekejap. Ada hal dengan dia sikit." Abangku meminta diri. Aku mengangguk lalu menyalam tangannya sebelum dia beredar meninggalkan kami berdua di hadapan bereknya.
“"Kau buat apa kemari?"” Katanya perlahan tetapi marah-marah.
“"Saya nak jumpa abang lah!" Aku cuba senyum. Tapi senyumanku kelat.”
Abang Zami mengeluh panjang. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. “
"Kita keluar makan tengahari, okay?"…”
“"Tak mahu bawak Abang saya nak ikut sama ke?"”
“"Baik jangan... lagipun mungkin lama urusannya tu." Ujar abang Zami. "Nanti aku jumpa kau di depan kem. Aku nak bersiap sekejap di atas."”
Aku mengangguk setuju.
Aku menunggunya di hadapan kem selama lebih kurang setengah jam di tengah-tengah panas. Walaupun terpaksa berjemur di tengah-tengah bahang panas, aku tetap tabah menunggunya. Yang penting, aku akan dapat bersemuka dengannya.
Sebaik sahaja kita bertemu, abang Zami telah mengajakku makan ke sebuah warung berdekatan dengan pantai. Aku bersetuju sahaja,
Suasana pantai Port Dickson nyaman. Walaupun tidak senyaman pantai di hadapan kampungku. Melihatkan keadaan pantai yang sedang pasang itu, aku teringatkan kepada peristiwa masa lalu aku bersama abang Zami di Terengganu. Aku kadang-kala tersenyum sendiri...

Sewaktu di berada di dalam warung, kami tak banyak berkata-kata. Abang Zami banyak termenung sambil menghela nafasnya panjang-panjang berkali-kali. Aku dapat melihat perubahan dari segi wajah abang Zami. Dari raut wajahnya aku lihat dia kelihatan seperti sedang membendung banyak masalah. Tetapi di dalam masa yang sama, aku lihat dia sedang memakai baju baru dan beberapa kelengkapan baru. Tidak seperti dahulu, selalu dia memakai baju yang sama sewaktu keluar bersiar-siar denganku.
“"Jam baru tu ke bang? Macam jam mahal jer."” Kataku sambil merenung ke arah jam barunya itu.
“"Jam orang yang bagi... mana abang mampu beli jam macam ni dengan gaji abang yang tak seberapa sekarang ni!" Abang Zami memberitahuku sambil menjeling ke arah jamnya sendiri.-“
“"Sapa bagi, bang?" Hatiku terasa sedikit cemburu. ”
“"Ada lah" Abang Zami sengaja tidak mahu memberitahu.…”
“"Betul ke bang... yang abang ada awek kat Kedah?" Mungkin aweknya yang menghadiahkan jam ini kepadanya, fikirku yang bukan-bukan di dalam hati.”
Abang Zami menarik nafasnya panjang-panjang kemudian dia menjawab:
“"Tidak... aku cuma beritahu perkara ini kepada abang kau supaya kau tak akan ganggu aku lagi.”"
"Ganggu apa pulak ni bang?" Tanyaku gugup.
"Aku tak mahu kau ganggu lagi, paham!" Katanya menengking. Aku terkejut ditengking olehnya begini. Aku tak pernah ditengking oleh sesiapapun seperti ini di dalam hidupku. "Kau ni bodoh ke apa, tak paham-paham cakap aku ni? Nak aku cakap Siam kat kau pulak?" Dirasakan abang Zami umpama hakim yang akan menjatuhkan hukuman maut terhadap pesalah yang telah melakukan pelbagai jenayah yang cukup ditakuti.
Dan pesalahnya adalah aku.
Hatiku tiba-tiba retak. Tapi aku masih tak boleh menerima kenyataan bahawa abang Zami baru sahaja menengkingku, inikan pula ingin meninggalkanku begitu sahaja.
“"Abang bergurau dengan saya kan bang?"” Aku cuba mengukir senyuman di bibirku. Tetapi bibirku terlalu keras dan kelu.
“"Aku harap, kau paham bila aku cakap kau tak perlu ganggu aku lagi! Kau bukannya budak kecik lagi!"” Abang Zami semakin meninggikan suaranya.
Kepalaku pusing. Telingaku berdesing. Tekakku tiba-tiba menjadi loya. Aku mahu menangis. Tapi aku tahan sahaja air mataku itu dari mengalir keluar.
“"Saya tak faham bang... apa salah saya?"”
“"Kau tak salah. Cuma ada orang yang lebih penting yang telah muncul di dalam hidup aku. Dan aku sayangkan dia dari aku sayangkan kau." Jelasnya dengan selamba.
“"Siapa dia bang?"”
“"Dia bekerja sebagai seorang doktor dari Seremban. Orangnya baik."-“
Aku mula dapat meneka dari mana datangnya jam, cincin dan kemeja baru yang dipakainya itu. “
"Apa kelebihannya dia dari saya? Saya sanggup buat apa saja untuk dapatkan abang kembali. Saya tak sanggup hidup lagi kalau abang tinggalkan saya begitu sahaja."
“"Dia bukan budak kecik macam kau... lagipun dia doktor. Ada pangkat. Ada kedudukan."” Jelasnya merendah-rendahkan diriku ini.
Mataku mula merah berair. Aku tak dapat menahan sedih yang terbuku di dalam hatiku kini.
“"Sudah! Jangan kau nak menangis macam pondan depan aku!" Abang Zami menengkingku. Beberapa pelanggan warung memandang ke arah kami. "Dengar sini... aku tak mahu kau cari aku lagi. Yang sudah tu sudah!" Katanya sambil mengeluarkan dompet wangnya.
Abang Zami mengeluarkan kesemua wangnya yang ada di dalam dompetnya. Dia cuba memasukkan wang tersebut ke dalam kocek bajuku. Aku menepis tangannya.
"Saya bukan pelacur, bang... tak payahlah abang berikan duit abang tu kepada saya." Aku mengesat air mataku yang panas itu. Aku malu kerana telah menunjukkan kepadanya bahawa aku menangis.
Abang Zami tidak menjawab. Dia terus barjalan keluar meninggalkan aku. Langsung dia tidak menoleh untuk melihat keadaanku di dalam warung.
Aku telah duduk di meja warung tersebut untuk beberapa jam sebelum aku berjalan ke arah stesyen bas. Sampai sekarang aku tidak tahu bagaimana aku boleh mencari jalan sehingga ke aku dapat menaiki bas untuk pulang ke KL. Aku seolah-olah seperti orang yang telah hilang ingatan serta perasaan...

Aku telah pulang ke Terengganu dengan perasaan yang sedih amat. Ibu bapaku mula naik risau, terutamanya apabila mendapati bahawa aku mula jatuh sakit. Makanan yang dihidangkan kepadaku jarang kusentuh. Selera makanku langsung tertutup buat beberapa waktu. Bapaku hampir-hampir mahu membuat spekulasi bahawa aku telah dianiaya orang secara halus. Apabila aku di bawa berjumpa dengan doktor di pekan, doktor telah memberitahu kepada ibu bapaku bahawa aku kekurangan darah. Aku sendiri tak tahu mengapa.
Aku hanya pulih secara keseluruhannya, tiga minggu selepas aku ditinggalkan abang Zami. Itupun, keadaan diriku langsung berubah dari keadaan diriku sebelum peristiwa hitam ini berlaku. Orang-orang yang terdekat denganku mengatakan bahawa aku semakin diam dan sombong. Dan aku tak banyak senyum seperti dahulu. Aku juga mula mengamalkan tabiat merokok. Maka kerana sebab-sebab inilah semakin kuat telahan bapaku bahawa aku mangsa buatan orang...

Kerana terlalu ingin lari dari keadaan. Aku begitu bersungguh-sungguh untuk mencari jalan untuk keluar dari Terengganu dan kalau boleh, terus keluar dari Malaysia. Keinginanku ini telah tercapai apabila aku berjaya menerima biasiswa untuk belajar di UK.
Aku telah keluar dari negara ini dengan perasaan penuh dendam dan aku telah berjanji tidak akan jatuh cinta lagi...


Bersambung...

No comments:

Post a Comment