Friday, June 29, 2012

NAFAS : Bab 12

Bab 12

Majid nampaknya begitu menikmati hari-harinya di Oxford. Di dalam perbualan kami melalui telefon, dia telah memberitahu kepada aku bahawa dia kini telah menjadi ahli persatuan Oxford Union serta Bricklayers' Arms. Kedua-dua persatuan tersebut telah diperkenalkan kepadanya di Fresher's Fair. Majid memang aktif berpersatuan. Di Felsted dulu pun dia pernah menjadi pengerusi persatuan sosiologi di sana. Hanya aku sahaja yang malas. Penat rasanya untuk berpersatuan ini, fikirku.
Kerap kali dia juga akan menghantar majalah Cherwell kepadaku (yang sering menyiarkan tulisannya atau sajaknya di dalam bahasa Inggeris). Katanya, dia gembira di Oxford kerana dia mula mengenali ramai kenalan yang mempunyai minat serta aspirasi yang sama sepertinya. Dia memberitahuku, dia kini mempunyai fahaman sosialis dan dia mahu belajar dengan lebih mendalam tentang keadaan politik sesama. Dia sememangnya tidak puas hati dengan suasana politik di Malaysia. Dia mahu melihat perubahan berlaku di Malaysia demi kebaikan semua. Pada pandanganku, hanya anak-anak orang kaya sepertinya sahaja yang mampu berfikiran begini. Mungkin kerana dia tak faham tentang keadaan sebenar di Malaysia. Mengapa mesti adanya perubahan jika apa yang ada sudah mencukupi untuk semua. Mungkin kemahuannya itu ikhlas. Dan mungkin juga pandangan aku ini yang ternyata sempit, seperti mana yang pernah diperkatakan oleh Majid.

"Zaha rindu dengan aku. Dia kata, kalau boleh, dia nak belajar di UK dengan aku." Jelas Majid sewaktu dia datang melawatku di London. Dia baru sahaja mengakhiri penggal Trinity tahun pertamanya. "Tapi aku rasa lebih baik dia ikut cakap bapak tiri dia dan teruskan pelajarannya di Ecole Polytechnique." Majid terbaring di atas katil Rezal. Matanya tepat ke arah siling.
"Tulah... bukannya susah kalau kau nak jumpa dia... masa musim cuti macam ni lah kau pergi jumpa dia." Nasihatku. "Lagipun kau akan ke Paris minggu depan nak jumpa dia... sabar jellah."
Majid mengganguk kepalanya sambil tersenyum. Aku tahu kalau boleh mahu sahaja dia ke Paris pada hari ini juga. Dia ke London inipun hasil dari ajakan aku untuk datang melawatku di sini. Jika tidak, mungkin aku tak akan berkesempatan untuk berjumpa dengannya langsung!
"Dia ambik course apa di sana?" Tanyaku mengenai universitinya, yang dikenali sebagai diantara sekolah kejuruteraan yang terbaik di dunia.
"Biomedical engineering."
"Fuyoh!" Getusku, yang sebelum ini tak pernah menayakan kepadanya tentang latar belakang akademik Zaharudin. Bukannya kerana aku tidak mahu ambil tahu, tetapi setiap kali Majid berbual denganku di corong telefon, dia lebih suka berbual tentang dirinya. Lagipun, apa pula katanya nanti jika aku asyik menanyakan tentang Zaharudin. Nanti mahu dituduhnya aku 'celah bedah' pula.
Aku kagum dengan Zaharudin. Aku tahu bahawa seperti Majid, Zaharudin juga mempunyai bakat yang tinggi di dalam bidang akademik. Zaharudin bukan calang-calang orangnya, kerana dia dapat menyesuaikan dirinya belajar di Perancis tanpa mengalami banyak masalah.
"Bapak tiri dia yang galakkan. Lagipun mak dia dulu kan memang pernah bekerja dengan sebuah syarikat farmasi di Shah Alam. Kau tentu dah baca tentang kajian uncle Georges kan?"
"Aku tahu." Kataku yang memang mengenali bapa tiri Zaharudin yang berbangsa Perancis itu. Pernah aku membaca sebuah artikel mengenai pencapaian kajian bapa tiri Zaharudin di dalam bidang penyelidikan barah di dalam majalah "Scientific American". Majid sendiri yang telah mengeposkan salinan fotostat artikel itu kepada aku beberapa bulan yang lepas.
"Satu hari nanti Zaha nak mencipta ubat untuk sakit barah. Dia tak mahu orang lain mengalami apa yang terpaksa dialaminya dahulu dengan ibunya." Jelas Majid mengeluh sedih. Aku tahu bahawa Majid sendiri pernah kenal rapat dengan ibu Zaharudin. Majid sendiri ada bersama Zaharudin pada saat-saat akhir hayat ibunya itu. "Dia mahu meneruskan kajian uncle Georges untuk mencari ubat untuk sakit barah." Sambung Majid kemudian dengan suara yang perlahan.
"Aku yakin dia boleh mencapai cita-citanya satu hari nanti." Tenang aku meluahkan kata-kata ini kepadanya.
Aku ternyata kagum dengan sikat Zaharudin dan Majid. Di dalam usia semuda mereka, mereka berdua sudah mempunyai cita-cita yang tinggi untuk merubah keadaan di dunia di sekeliling mereka. Aku pula agak kecewa dengan diriku kerana aku hanya mampu mendengar dan melihat. Tak terdaya aku rasanya untuk melakukan sesuatu demi masa depan manusia sejagat.
Mungkin kerana perkara-perkara inilah yang telah membuatkan hubungan Majid dan Zaharudin akrab. Aku sememangnya cemburu melihatkan hubungan mereka berdua. Seringkali aku akan bertanyakan kepada diriku jika pada satu hari nanti aku akan diketemukan dengan seorang kekasih yang akan menyayangi diriku ini dengan iklas.
Aku terasa kesunyian di London walaupun aku mempunyai ramai rakan taulan di sini. Kesunyian ini datangnya jauh dari lubuk hatiku-- di dalam satu daerah yang pernah diisi dengan rasa cinta dan sayang pada ketika aku sedang bercinta dengan abang Zami dahulu. Satu daerah yang kini telah kontang dan gersang.

Mungkin aku seorang manusia penuh kecewa. Mungkin aku tidak boleh bercinta lagi...
***

"Mana mak ayam kau nih?" Tanya Majid memandang ke kiri dan ke kanan, kemudian kepada jam tangannya.
"Eh mak ayam aku pulak... dia kan mak ayam kau!" Kataku. Aku memandang ke semua arah dari stesyen tube Marble Arch. Tiba-tiba sahaja Rezal muncul di hadapanku. "Masyaallah... apa dah jadi dengan kau nih Rezal?"
Aku terkejut melihat rambutnya yang telah diwarnanya merah itu. Aku menghela nafasku panjang-panjang. Malu aku rasanya kerana mempunyai kawan yang 'over' sepertinya.
"Vouge kan? Mak pergi salon dekat Covent Garden tadi... Adi ni yang suruh mak kalerkan rambut." Jelasnya kemudian dia memperkenalkan kawan barunya itu kepada kami.
Kawannya yang bernama Adi itu berjalan lenggang lenggok ke arah aku dan Majid.
"My name is Adi... MAS Steward." Katanya kepada kami. Wajahnya seperti anak Cina. Aku pasti bahawa ada darah Cina yang mengalir di dalam tubuhnya.
"This is my first time in London... Rezal is bringing me around to seeing this place." Katanya kemudian, dengan bahasa Inggerisnya yang tunggang terbalik itu kepada aku dan Majid.
Aku sempat menoleh ke arah Majid. Majid mengerutkan keningnya.
"Nyah, Adi nih sebenarnya anak buah Siti Nuraka..." Rezal cuba menjelaskan. Aku kenal benar dengan 'Siti Nuraka' atau nama sebenarnya Azmin. Pernah sekali dia bertandang ke flatku di Kensal Green. Dia bekerja sebagai seorang ketua peramugara MAS. Dia telah mengenali Rezal sebelum Rezal berlepas ke London lagi. Menurut Rezal, Siti Nurakalah yang pernah menjadi mak ayamnya sebelum dia bertolak ke London, dahulu.
"So... are we heading to Malaysia Hall now?" Tanya Adi yang berusia di dalam lingkungan pertengahan 20-an itu kepadaku. Aku merenung ke dalam biji matanya. Adi sedang memakai kanta mata berwarna hazel.
Hadi berkulit putih pucat. Matanya sedikit sepet. Dia tinggi sedikit dariku. Rambutnya telah dipotong dan disikat kemas. Orangnya agak lembut. Seperti Siti Nuraka, Adi juga berasal dari Sarawak.
"Ya... kita akan ke sana sekejap. Majid nak letak majalah Cherwell yang ada sajak dia tu kat tuck shop."
Aku menjawab.
"Why can't we just go to Oxford Street?
I nak pergi shopping nih!" Kata Adi sambil menggigit bibirnya yang merah itu. Dia merengek-rengek manja kepada kami, seolah-olah kami sudah lama mengenalinya.
Aku sempat melihat Majid menjeling. Dia kelihatan sedikit meluat.
"Aku lapar... aku nak makan dekat tuck shop Malaysia Hall." Aku menegaskan. Aku ajukan permintaan aku ini kepada Rezal.
"Alah, Adi... we all pergi sana sekejap..." Pujuk Rezal. Dia mungkin mahu menjaga hati aku. Dia tahu jika aku mengamuk, mungkin padah jadinya.
Adi mengeluh panjang.
Adi dan Rezal berjalan di hadapan kami menuju ke Bryanston Square. Sakan juga mereka berbual. Dari apa yang aku dengar dari perbualan mereka, Adi dan Rezal sudah lama berkenalan.
"Ek elleh... nak jadi Miss Clara International konon!" Bisik Majid kepadaku. "Bahasa Inggeris berterabur, lagik nak cuba speaking dengan aku... pigidah!"
Aku tertawa mendengarnya mengejek Adi.
Seperti Zaharudin (yang fasih berbahasa Perancis), Majid juga kalau boleh hanya mahu menggunakan bahasa Melayu sewaktu berbual dengan kawan-kawannya dari Malaysia, terutamanya kepada mereka yang berbangsa Melayu. Dia hanya memastikan bahawa dia akan berbahasa Melayu dengan Zaharudin, kerana menurutnya, Zaharudin kelihatan lebih menarik tatkala dia berbahasa Melayu dengannya.
Terutamanya ketika dia di atas ranjang.
"My name is Adi... Pramuganyah, MAS." Ejeknya lagi sambil membalas ketawaku. Sempat juga Majid menggayakan cara jalan Adi yang berlenggang lenggok itu.
Bangunan Number 45 Bryanston Square, atau lebih dikenali sebagai Malaysia Hall ini tersergam megah di hadapan kami. Di sinilah tempatnya aku melakukan sembahyang terawikh pada setiap bulan Ramadhan. Dan di sinilah juga tempat aku bersembahyang hari raya buat tiga tahun berturut-turut sejak aku di England. Setiap kali aku ke London dari Essex pada musim cuti pra-U aku dahulu, aku akan pasti menetap di sini. Tempatnya agak strategik kerana ianya terletak dekat dengan Oxford street, tempat yang sering aku lewati setiap kali aku kebosanan. Jika aku perlu membeli keperluan makanan ringan, aku hanya perlu berjalan ke Selfridges yang letaknya agak berdekatan. Jika aku sudah bosan dengan makanan yang ada disediakan di Malaysia Hall, aku hanya perlu berjalan ke arah Edgware Road yang kini dikuasai oleh orang-orang arab. Terdapat sebuah kedai makan di sini yang sering dilawati oleh pelajar-pelajar Malaysia (kerana kebab yang dihidangkan mereka memang sedap rasanya). Dan sewaktu tinggal di sini, aku sering pergi berjogging ke Hyde Park yang letaknya begitu dekat dengan Malaysia Hall. Tempat di mana aku pernah sekali bertembung dengan Madonna sewaktu dia sedang berjogging bersama beberapa orang pengawal peribadinya...
"Aku pergi atas dulu," Majid meminta diri untuk masuk ke dalam Malaysia Hall sebaik sahaja kami tiba sini. Manakala kami pula terus menuju ke arah kantin yang terletak di bahagian bawah bangunan yang sama.
"Nyah... nak tahu apa?" Tanya Rezal kepadaku sewaktu kami sedang duduk di dalam kantin. Dia membetulkan alunan rambut yang baru diwarnakannya itu.
"Apa?" Aku bertanya kembali. Adi mencuri pandang ke arahku. Aku sibuk membancuh teh tarik yang telah aku pesan dari seorang makcik di kantin tersebut.
"Tapi mak ceritakan pasal Drama Minggu Ini kau tu dengan Adi... pasal kau dengan ex kau tu lah--"
Aku menarik nafasku panjang-panjang. Kini cerita hidupku menjadi topik perbualannya pula dengan Adi. Benci pula aku dengan perangai Rezal yang tak boleh menyimpan rahsia ini.
"So?" Tanyaku dengan nada marah.
"Adi kenal dengan abang Zami kau tu, nyah... what a coincident!"
Kata Rezal dengan mimik mukanya sekali. Beberapa orang pelajar berbangsa Cina menoleh ke arah Rezal sambil tersenyum. Mereka mungkin lucu melihat gelagatnya.
"Alah... kau salah orang agaknya," kataku sambil menghirup teh tarikku yang masih panas.
"Your abang Zami tu komando, right?" Tanya Adi kepadaku. Dia menjeling ke arah Rezal.
"Ya..." aku menjawab setelah aku diam dengan agak lama.
"I have so much story to tell you about him..."
Kata Adi sambil tersenyum nakal memandang ke arah Rezal.
"Pasal apa?" Tanyaku dengan nada mendesak. "Macam mana kau kenal dia pulak?"
Tanyaku lagi. Tangaku tiba-tiba terasa sejuk.
"Well... KL is small, dear. Port Dickson is even smaller." Suaranya begitu sinis.
"Ye lah... kau tak jawab soalan aku lagik!" Geram aku rasanya apabila soalanku tak dijawab-jawab olehnya.
"I don't have the mood to talk about him now.
Nanti malam we talk about him, okay?" Katanya dengan nada malas.
Hatiku rasa tak sedap. Fikiranku tiba-tiba kembali gusar.
"Okay... kita nak makan apa hari ini?" Segah Majid yang tiba-tiba muncul dibelakangku. Aku diam. Dari raut wajahku aku tampak sedikit terganggu. Majid dapat merasakan keadaanku pada waktu itu.
"Nyah... kau usik dia pasal cara dia dressing dia lagik ye nyah?" Tanya Majid kepada Rezal sambil bercekak pinggang. Aku menggeleng-gelengkan kepalaku dengan perlahan, sambil memikirkan bahawa Majid langsung tidak sesuai bercakap dengan menggunakan istilah-istilah yang sering digunakan oleh Rezal. Benci aku mendengarnya...

***

Fikiranku berkecamuk tatkala sedang bersiar-siar di Oxford Street. Aku tak banyak berbual dengan Majid, Rezal mahupun Adi. Di dalam kepalaku, bermacam-macam senario mula terpacul mengenai apa yang akan diberitahu kepadaku oleh Adi mengenai abang Zami. Sudah lebih 3 tahun aku tidak menemui abang Zami.
Kini aku sudah hampir-hampir dapat melupakan tentang dirinya.
"Kau balik ke Kesal Green ikut Rezal... aku ada hal dengan Adi malam ni." Kataku kepada Majid tatkala berada di dalam kedai musik Virgin Megastore. Majid sedang mendengar lagu terbaru dari Bjork.
"Apa dia?" Dia tanya ku lagi. Dia menjatuhkan headphone ke lehernya. "Aku tak dengar."
"Kau balik ikut Rezal, okay?" Aku mengulangi kata-kataku.
"Okay... tapi jangan balik lambat-lambat. Kalau nak projek tu pun... amalkan safe sex." Majid membelek-belek CD Bjork.
"Eh ke situ pulak kau!" Aku memarahinya. "Kau ingat aku ni apa?"
"Ye lah... mana tahu. Aku memang tak suka dengan si Adi. Tapi mana lah tahu dia nak jadi peramulacoh malam ni. Kau pulak jadi mangsanya nanti!"
"Eh, gelilah aku dengar. Kalau tinggal dia sorang saja jantan dalam dunia ni... aku sanggup jadi seteret!" Kataku benci. "Aku pun cukup menyampah dengan dia... mengada-ngada. Kau tak dengar apa dia cakap tadi masa dia nak beli seluar jeans dia tu?"
"Dengar..." jawab Majid kemudian mengejek: "I tak pakai jeans yang takde brand... I pakai Versace sahaja."
Aku memasukkan tanganku ke dalam kocek jeans Lee ku yang telah dibeli oleh bapaku di Kuala Terengganu sejak empat tahun yang lepas. Aku jelas nampak sempoi. Berbaju T dan berseluar jeans ke mana-mana sahaja aku pergi tatkala berada di sini.
"Kalau aku tak balik malam nih, kau panggil polis." Kataku membuat lawak. Aku tak menyambung lawakku itu, kerana aku dapat melihat Rezal dan Adi berjalan berlenggang lenggok ke arah kami...

"You nak makan apa?" Tanya Adi sewatu kami berada di Restoran Melati yang terletak di Great Windmill Street itu. Aku memandang menu walaupun pada dasarnya aku tak lalu makan. Kemudian aku memandang kosong ke arah pelayan yang sedang menunggu pesanan dari aku.
"Laksa Singapura," kataku kemudian dengan perlahan kepada pelayan restoran.
Adi memesan gado-gado dan beberapa cucuk satay di restoran Indonesia tersebut. Kueh dadar juga telah dipesannya sebagai makanan pencuci mulut.
"Aku dapat tahu dari Rezal yang kau ni ex Zami." Adi membuka cerita.
"Ya... tapi kau kenal dengan abang Zami ke?" Tanyaku kepada Adi.
"Kenal gitu-gitu saja. I memang taste dengan dia dulu... tapi my friend got him first" Jelasnya bersahaja.
"Sapa kawan kau tu?"
"Doktor Lau dari Seremban tu--"
"Apa?" Selama ini aku membayangkan bahawa doktor yang telah dinyatakan kepadaku oleh abang Zami berbangsa Melayu. Tetapi aku ternyata salah.
"Aunty Lau," ujarnya tersenyum. "We all call him aunty Lau... orangnya dah berusia sikit... aku rasa umur dia dah nak masuk lima puluh tahun."
Tekakku tiba-tiba loya. Aku tak sepatutnya berperasaan begini kerana sudah lama aku melupakan kewujudan abang Zami di dalam hidupku. Mungkin aku berperasaan begini kerana barulah aku sedar kini bahawa aku telah ditinggalkan oleh abang Zami kerana dia telah memilih Dr. Lau.
"Aku tak tahu kenapa orang macam Zami boleh terjebak dengan aunty Lau. I mean... he's really-really ugly. Buncit pulak tu!"
Suasana restoran agak hingat bingar. Aku memandang ke luar. Masih terdapat beberapa orang yang beratur untuk menunggu giliran dibenarkan masuk ke Restoran Melati. Hujan yang turun pada awal musim panas itu langsung tak dihiraukan oleh mereka yang sedang beratur.
"By the way... I dapat tahu tentang kau dari aunty Lau. Zami pernah ceritakan pasal diri you tu kat dia. Dia betul-betul nak jumpa dengan you! But it seems I get to see you first!" Kata Adi tersenyum sinis.
"Di mana abang Zami sekarang?" Aku akhirnya bersuara.
"The last time I heard... dia ada di KL."
"Lau pulak?"
"They all dah break off, sebab Lau dah jumpa dengan anak ikan baru... mungkin sebab tu Zami minta ditransfer ke KL." Kata Adi. "Anyway... Zami is now, way too old for Lau. Nyonya tu suka makan jenis yang muda-muda sahaja."
Adi yang pada mulanya duduk di hadapanku, kini berdiri lalu mula duduk di sebelahku.
"Well, I'm still available. I don't see why orang macam abang Zami, atau macam you tak minat dengan I. Afterall, don't tell me yang I ni tak gorgeous!" Adi membuat suara manja. "Why don't you come back with me tonight to my hotel. I know that you want me tonight." Katanya perlahan dekat ke telingaku.
Tangannya dari bawah mula meraba-raba pehaku.
"Eh, apa nih?"
Aku cepat-cepat menepis tangannya.
"I heard that you're well hung--"
"Ish!"
Getusku, lalu cepat-cepat aku berdiri. Dengan cepat juga aku terus berjalan keluar dari Restoran Melati. Aku terus aku berjalan dengan laju ke arah stesyen tube Piccadilly Circus tanpa menoleh ke belakang. Aku langsung tidak menghiraukan hujan yang mula turun dengan lebat pada malam itu.
Setibanya aku ke flatku di Kensal Green, aku terus masuk ke dalam bilik di dalam keadaan lencun lalu terus memarahi Rezal. Majid tercegat diam kerana dia tak tahu asal usul rasa marahku itu.
"Dah, sudah! Kalau nak gaduh... gaduh di luar." Sebut Majid cuba meleraikan aku dari cuba menumbuk Rezal. Mataku merah kerana terlalu marah.
"Kenapa aku pulak kena?" Tanya Rezal kekeliruan.
"Mengucap, Zam... kau tu tengah marah," Majid cuba sedaya boleh untuk menenangkanku. Aku mengucap berkali-kali lalu aku duduk di atas katilku. Aku terus meminta maaf kepada Rezal kerana terlalu mengikutkan nafsuku.
"Apa yang dah jadi?" Tanya Rezal kepadaku. Dia duduk di sebelahku. Cuba memujuk.
Aku menceritakan kepada Rezal dan Majid apa yang telah berlaku tatkala aku berada di restoran Melati bersama Adi.
"Kau marahkan Adi?" Tanya Rezal ingin tahu. "Atau kau marahkan abang Zami?"
Aku menggeleng-gelengkan kepalaku dengan lemah. "Aku tak tahu." Bisikku perlahan. Mataku semakin merah. Sememangnya aku sendiri keliru; mengapa aku tiba-tiba merasa amat marah pada malam itu. "Aku betul-betul tak tahu," Bisikku lagi dengan lebih perlahan lagi. 

Bersambung...

No comments:

Post a Comment