Bab 13
"Kau akan membawa Amir berjalan-jalan di London. Sebenarnya dia dah biasa dengan London, aku cuma mahu kau temankan dia sahaja." Kata Majid kepadaku, sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di atas sofa di ruang tamu di flatku. Dia baru sahaja tiba ke London dari Oxford. Baru sahaja semalam dia selesai kertas peperiksaan terakhir untuk penggal Trinity tahun keduanya. Terus hari ini dia sampai di London untuk menjemput seorang rakan lamanya di Heathrow. Lusa Majid akan terus ke Paris untuk menemui Zaha di sana."Siapa Amir?" Aku bertanya. Sememangnya aku langsung tak mengenali rakan-rakan yang berada di luar rangkaian rakan-rakanku sendiri. Seperti biasa, Majid akan memberitahuku tentang hal dirinya dan latar belakangnya satu demi satu kepadaku.
"Kawan lama aku. Kali pertama aku jumpa dia adalah pada enam tahun yang lepas di KL. Tahun 1992, kalau tak salah aku." Abir memberitahuku sambil menghirup air kopi panas yang baru sahaja aku sediakan untuknya.
"Macam mana kau boleh kenal dia pulak?" Aku menanyainya seraya mengumpulkan edisi-edisi lama suratkhabar yang mula terkumpul di atas meja di ruang tamuku.
"Dia anak kepada kawan emak abang aku punya awek." Katanya sambil tersenyum.
"Maksud kau?" Aku ternyata keliru. Suka sangat Majid mengelirukan aku dengan permainan kata-katanya.
"Mak dia... Puan Zaleha adalah kawan baik kepada Puan Fatimah, ibu kepada Anita, girlfriend abang aku."
"Macam mana pulak kau boleh jumpa dia?"
"Masa tu dia cuti ke Malaysia... dah lama dia tak balik ke Malaysia."
"Maksud kau?"
"Dia budak US... sejak mak dan bapak dia bercerai masa umur dia enam tahun, mak dia bawak dia tinggal di New York. Mak dia lepas tu kawin di sana--"
"Wah! Orang New York." Kataku. "Tahu cakap Melayu tak?" Tanyaku kemudian.
"Ye lah... takkan ler tak tahu pulak." Katanya, kemudian memandangku seolah-olah otakku ini memang benak. "Dan dia juga boleh cakap Perancis dan Jerman."
Sekali lagi aku akan berjumpa dengan rakan-rakan Majid yang pandai-pandai. Segan aku rasanya mahu berjumpa dengan mereka.
"Dia ke sini untuk apa? Bercuti?"
"Sekolah... dia nak belajar di Oxford. Nak buat M. Phil di dalam bidang matematik di Balliol College. Dia akan tinggal di London sehinggalah penggal Michaelmas bermula nanti."
"Hebat budak tu... buat Matematik di Oxford pulak tu--" Kataku cemburu. Kerana aku sendiri pernah bercita-cita untuk ke Oxford, tapi tak berjaya. "Tapi kan buat Maths di Cambridge lebih baik!"
'Alah... dia pilih Oxford pun sebab aku ada di Oxford... dia memang macam tu. Dulu dia mahu study ke Boston pun sebab dia nak ikut abang Farid aku study di sana. Kau tahu mak bapak dia nak dia study kat Columbia?" Jelas Majid kepadaku.
Aku menggelengkan kepalaku. Manalah aku tahu tentang ini semua.
"Dia sebenarnya baru saja dapat double degree dari MIT di dalam jurusan Matematik dan Computing." Beritahu Majid mengenai kawannya itu. "Baru sahaja grad tu..."
"PLU ke?" Tanyaku yang tiba-tiba menukar ke topik yang baru.
"Dia bi... bukan bi macam yang budak Bakhtiar dari King's College kawan kau tu. Bakhtiar tu bukan bi... tapi cibai!" Jelasnya sambil tersengih. "Si Bakhtiar tu tak nak mengaku dia tu gay... lepas tu bagitahu kat semua orang dia tu bi. Konon-kononya orang akan respect dialah kalau dia bi. Tolonglah, sah-sah dia tu pondan bila atas katil. Girlfriend dia pulak tak pernah disentuhnya. Buat-buat cover kononnya. Bi ke namanya tu?" Aku tak tahu kenapa Majid tiba-tiba sahaja bernada marah. Mungkin dia sudah lama benci dengan Bakhtiar yang suka bermuka-muka itu.
"Aku tahu dia tu homo... tak nak mengaku konon. Kesian aku tengok girlfriend dia kena tipu bulat-bulat. Nak bertunang pulak tu!" Aku menggelengkan kepala. Kasihan benar aku dengan 'teman wanita' Bakhtiar yang dibuatnya seumpama tunggul itu.
"Amir ada awek..." Sambung Majid. "Salina namanya. Tengku Salina. Budak Boston College. Amir, Salina dan abang aku... mereka bertiga berkawan baik di Boston." Majid menjelaskan. "Abang aku Farid pernah beritahu, kalau dia tak bersama kak Nita, dah lama dia kebas Salina dari Amir."
"Macam mana pulak kau tahu dia bi?" Tanyaku ingin tahu. Aku langsung tak berminat ingin tahu tentang Tengku Salina mahupun abang Majid yang bernama Farid itu.
"Alah... Amir pernah nak ngorat aku dulu. Cuma aku tak minat jer."
"Enam tahun yang lepas?"
"Ya... masa tu kalau tak salah aku, dia baru saja berusia 16 tahun. Dia tua setahun saja dari kita.." Jelas Majid sambil mengusap-ngusap rambutnya yang tebal itu. "Akak Nita yang bawak dia pergi jumpa aku Zaha dan abang Farid di Lot 10... di Cal's Diner."
"Macam mana pulak dia ngorat kau?"
"Masa di Cal's Diner aku dapat tahu yang dia minat dengan Pearl Jam macam aku. Semua yang dia minat aku minat jugak. Aku tahu yang dia suka kat aku... bukannya apa, dia layan aku semacam jer. Kau paham-paham jelah. Apa tak nya... sejak dari mula lagi dia dah tahu aku ni gayboy. Aku rasa sebab dia tengok aku dengan Zaha rapat gila!" Jelasnya. "Aku bagi dia signal yang aku tak minat. Lagipun masa tu aku baru sahaja kenal dengan Zaha. Aku minat gila dengan Zaha. Takkanlah aku nak tinggalkan Zaha, pastu ambik si Amir ni pulak."
"Hensem tak budak Amir tu?" Tanyaku ingin tahu. Entah mengapa, aku mula ingin mengetahui dengan lebih rapat rakannya ini.
"Biasa jer... bukan taste kau."
"Kenapa bukan taste aku pulak?"
"Sebab kulit dia bukan jenis putih-putih macam yang kau selalu minat tuh!"
"Tapi dia straight acting tak?" Pandai-pandai sahaja aku memotong.
"Very der jantan... tapi percayalah, dia bukan taste kau!" Majid memberitahu kepadaku dengan bersunguh-sungguh. Apabila dia menyebut perkataan jantan, seolah-olah dia menyebut tentang seorang pendekar gagah berani yang mungkin hanya wujud di dalam alam fantasinya.
"Sejak bila kau jadi the foremost authority mengenai taste aku ni?"
Majid berdecit, lalu dia menjeling aku sebelum berkata:
"Kau punya taste kan ala-ala muka abang-abang very der kampung. Muka dia ni, ala-ala muka hensem-hensem bandar. Tapi kau very der taste dia. Kau kan ala-ala muka abang-abang Melayu hensem, misai-misai. Taste dia lah tu!"
"Hek, ellehhh... Mana kau tahu ni semua?"
"Aku dah tanya pasal benda ni semua dengan dia..." Majid menggaru hidungnya pula. "Masa aku bercuti di Boston, dia selalu tunjukkan kepada aku balak jenis yang macam mana dia minat. Selalu yang dia tunjuk, abang-abang hispanik muka Melayu yang ada misai... dari situlah aku tahu. Dia pun dah mengaku dengan aku yang dia suka jantan macam tu."
Aku menyalakan mancis untuk mula menghisap rokok. Majid kemudian berdiri lalu menepuk-nepuk bahuku.
"Kalau kau boleh buat dia suka dengan kau sampai dia tinggalkan girlfriend dia... wa respek lu lah, Zam!" Kata Majid.
"Eh, mengarutlah kau ni wei... malam-malam mesti mengarut tak sudah-sudah." Kataku menegur. Aku masih ingat lagi, pada satu malam ketika di Felsted, dia pernah berbual tentang filem Fellini sehingga subuh. Majid kalau mula datang angin mengarutnya... mulalah dia berbual benda-benda yang tak akan masuk dek akal aku sehingga ke pagi.
"Bukannya apa beb... aku tak sukakan si Salina tu. Anak kroni." Jelasnya dengan nada selamba. Sejak akhir-akhir ini, topik politik semasa Malaysialah yang menjadi rencah perbualannya. "Jangan lupa bawak beg baju kau... kita akan tinggal dengan dia nanti." Sambung Majid mengarah.
"Kau ada gambar dia tak? Aku nak tengok!" Pintaku tanpa sabar.
"Ada... banyak pulak tu. Tapi tertinggal di Oxford." Majid tersenyum nakal. Entah apa sahaja yang sedang difikirkannya pada ketika itu. Tetapi apa yang aku tahu tentang dirinya, senyum-senyum begitu memang banyak maknannya.
Aku menghisap rokok dengan dalam-dalam. Kemudian aku berjalan ke arah tingkap untuk menghembuskan asap rokok keluar dari mulutku. Aku diam tak berkata-kata. Tak tahu apa yang akan aku hadapi nanti dengan rakan Majid itu...
***
Kami telah tiba agak lewat sedikit ke Heathrow. Nasib baiklah penerbangan British Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa JFK di New York lambat tiba dari masa yang telah ditetapkan. Jika tidak, pasti Amir terpaksa pula menunggu ketibaan kami berdua yang tak pernah menepati waktu ini.
"Datuknya bernama Dato' Abdullah." Beritahu Majid kepadaku di Balai Ketibaan yang telah ditetapkan. Dia sedang memeluk tubuh. Nama Dato' Abdullah telah disebutnya seolah-olah dia kenal benar dengan datuk kawannya itu.
"Siapa Dato' Abdullah tu?" Tanyaku yang sememangnya kurang arif dan tidak kenal dengan orang-orang ternama dari negaraku sendiri.
"Pengasas BumiMas." Jawab Majid ringkas.
"Oh... syarikat pembangunan tu. Aku pernah dengar nama syarikat tu, tapi orangnya aku tak kenal." Jelasku kepadanya. Sebagai seorang bakal jurutera pembinaan, nama-nama syarikat seperti ini memang patut aku kenali.
"Bapak Amir, CEO syarikat itu sekarang." Beritahu Majid lagi.
"So... anak lord macam kau ler nih?"
"Aku bukan anak lord lah... " Majid paling tak suka jika aku memanggilnya anak lor atau anak orang kaya. Dia masih menganggap dirinya anak kampung walaupun seumur hidupnya dia duduk di Bukit Damansara. Itulah peliknya diri Majid ini. "Kalau nak tahu apa makna anak lord, dialah anak lord, bukan aku." Jelasnya bersungguh-sungguh, kemudian bersambung. "Kita akan ke rumahnya di Brompton Square. Dia akan tinggal di sana sementara dia di London."
"Kawasan perumahan mewah di sebelah Brompton Oratory?" Tanyaku ingin mendapatkan kepastian darinya.
Majid mengangguk. "Dekat sangat dengan Imperial College bukan? Kau tentu dah biasa sangat dengan kawasan tu."
"Aku biasa dengan jalan di kawasan tu, sebab aku kadang-kala akan berjalan ke kampus dari arah stesyen Knightsbridge." Ujarku perlahan. "Kawasan orang kaya-kaya." Sebutku kemudian.
Aku mencari-cari wajah Melayu di kalangan beberapa ratus penumpang yang baru sampai ke London dari New York. Majid berjaya mengesannya terlebih dahulu dari aku.
Majid memanggil nama Amir. Amir berjalan ke arahku dengan dua buah begnya yang agak besar itu. Sarat.
Amir, seperti yang telah dinyatakan oleh Majid, memang sederhana orangnya. Amir tidak lah terlalu kacak, dia berwajah manis. Muka budak pandai, kata sesetengah orang. Bercermin mata tanpa bingkai. Berkulit sawo matang, yang gelap sedikit dari kulitku. Orangnya tinggi, lima kaki sepuluh inci. Rambutnya telah dipotong pendek, dan hampir-hampir botak, tetapi sesuai benar dengan bentuk kepalanya. Rambutnya yang pendek itu langsung mengingatkan aku kepada rambut potongan komando abang Zami dan abang Zuraimi. Ini membuatkan wajahnya tampak sedikit garang dan macho. Dari cara dia berpakaian pula, aku sudah dapat mengagak bahawa dia bertubuh agak tegap dan sasa. Dari apa yang aku dapat lihat, dia mempunyai dada yang bidang serta lengan yang besar. Mungkin dia sering ke gym untuk mengangkat berat, fikirku.
"Dah lama lebih dua tahun kita tak jumpa," Kata Amir yang berpakaian agak segak, seolah-olah baru sahaja selesai mengambil gambar untuk kempen iklan Ralph Lauren. Amir kemudian kuat memeluk Majid.
Majid menepuk-nepuk belakang Amir yang bidang dan padat itu. Amir memang mempunyai tubuh yang sedap di peluk.
Aku hanya memerhatikan gelagat mereka berdua. Aku kemudian lebih tertumpu kepada Amir. Aku dapati dia mempunyai sepasang mata yang membuatkan wajahnya nampak menarik. Matanya yang setajam mata Majid itu langsung mengingatkan aku kepada mata pembunuh yang kejam atau mata maharaja yang zalim. Amir tahu bahawa aku sedang merenung ke arahnya tanpa berkelip, walaupun dia sedang sibuk berbual dengan Majid. Beberapa detik kemudian, dia berhenti dari terus berbual dengan majid, lalu dia menoleh ke arahku dengan tenang seraya berkata:
"Dan ini mesti Nizam... Majid ada beritahu pasal awak kepada saya." Kata Amir sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan denganku. Seolah-olah dia mengikuti skrip yang telah disediakan kepadanya dengan sebaik mungkin.
"Aku harap yang baik-baik sahaja." Kataku sedikit gugup. Aku pun tidak pasti kenapa aku gugup. Nafasku sendiri entah mengapa berdegup kencang.
"Tentulah yang baik-baik sahaja." Jelasnya sambil tersenyum menoleh ke arah Majid. Suaranya keras. Langsung mengingatkan aku kepada suara-suara manusia yang besar-besar pangkatnya.
Majid kemudian mengutarakan sesuatu kepada Amir di dalam bahasa Perancis. Amir mengangguk lalu tersenyum. Aku pasti apa yang telah diperkatakan oleh mereka berdua adalah mengenai diriku. Kerana aku dapat melihat Majid tersenyum nakal tatkala dia memandangku.
"Amir akan tinggal di London selama beberapa hari sebelum dia melancong ke beberapa negara di Eropah. Dia akan ke Paris... aku nak kau bawa dia berjumpa dengan aku di Paris nanti." Kata Majid kepada ku. Kata-katanya di atur baik-baik. Tak pernah aku dengar dia berkata begini kepadaku. Kerana dengan aku dia lebih bersahaja.
"Tapi aku takde duitlah... sorry." Kataku cepat. Aku berbohong. Sememangnya aku ada duit, walaupun tak banyak. Aku lebih suka berjimat dari berbelanja seperti ini.
"Tak apa... saya akan tanggung semua perbelanjaannya." Kata Amir dengan ikhlas. "Saya perlu ambil gambar, saya perlukan pembantu."
"Tak apalah..." aku tersipu-sipu malu. Di dalam kepalaku, aku mula terfikir ada baiknya juga jika aku pergi melancung dari duduk di London sehingga berkulat. Aku mengambil keputusan untuk mengiakan sahaja jika dia menjemputku sekali lagi.
"Saya memang perlukan bantuan!" Jelasnya mendesak. "Saya ingatkan Majid boleh tolong saya, tapi dia pulak sibuk nak balik Malaysia dengan Zaha musim panas ini." Amir menoleh ke arah beg kameranya yang besar dan sarat yang sedang disandangnya itu.
Majid memandang ke dalam mataku. Seolah-olah dia memintaku bersetuju sahaja.
"Okaylah kalau macam tu. Tapi nanti aku akan bayar balik." Jelasku memberi syarat. Aku tak suka dibelanja orang.
Amir hanya menaikkan kedua belah bahunya yang bidang itu. Lalu menoleh ke arah Majid.
Majid menarik nafas lega. Kemudian sekali lagi mengutarakan pendapatnya di dalam bahasa Perancis kepada Amir. Entah apa sahaja yang mereka bincangkan. Aku terasa seperti orang asing dibuatnya pada ketika itu. Aku hanya mampu menjeling ke arah Majid tanda tak puas hati...
Kami telah menaiki teksi untuk ke Brompton Square. Di dalam perjalanan, Majid banyak berbual dengan Amir mengenai abangnya Farid yang baru sahaja lulus dalam pengajian universitinya dan mendapatkan ijazah di dalam jurusan Mass Communication di Boston University.
"Saya ada bersama Salina di apartment abang Farid di Allston, sebelum dia bergegas ke Stadium Boston University dengan gaun merah menyalanya itu. Dia terlambat lambat bangun..." ujar Amir sambil memandang ke luar teksi.
"Biasalah tu. Mesti dia pergi minum-minum pada malam sebelumnya." Majid cuba meneka.
"Ya... kami ada jugak pergi minum pada malam sebelumnya di Crossroads di Beacon Street. Kami pergi ke sana setelah kami bosan lepak-lepak di dalam dorm saya di MIT. Ingat tak... kita pernah ke sana dulu!" Majid mengangguk. Dia termenung sebentar untuk mengingatkan kisah-kisah lamanya melawat abangnya di Boston.
"Dia mabuk tak malam tu?" Tanya Majid kemudian.
Amir mengangguk sambil tersenyum. Dia menoleh ke arahku. Dia boleh mengagak bahawa aku tak pernah menyentuh minuman beralkohol dari raut wajahku pada waktu itu. Aku ternyata kelihatan sedikit terkejut melihat Amir beserta rakan-rakannya minum sewaktu mereka di Boston.
"Pagi tu, Salina kena cepat-cepat pergi seterika gaun merahnya itu. Dia tak pernah seterika sejak dia beli gaun tu di Barnes & Nobles."
"Kalau boleh, dia mahu bawa bersama tukang gaji kami ke Boston. Dia langsung tak tahu bagaimana nak jaga dirinya." Majid merungut.
"Dia dah banyak berubah sejak saya mula-mula kenal dia." Pintas Amir. "Sekarang apartment dia di Allston dah tak semak macam dulu."
"Tu pun sebab Salina dan kau selalu datang kemaskan, bukan?"
"Ya... tapi dia tolong jugak. Lagipun kami selalu lepak situ."
"Alah... kau selalu pakai bilik abang Farid buat projek dengan Salina di situ, bila abang aku kerja di komputer lab di BU. Macam aku tak tahu."
Amir tersenyum malu. Dia mencuri pandang ke wajahku. Kemudian dia menoleh kembali kepada Majid.
"Ini dia buku yang kau mintak dari aku," Amir mengeluarkan sebuah buku dari bag kameranya. "Siap di tandatangan sendiri oleh Chomsky."
Majid nampak gembira. Dibelek-beleknya buku tersebut sambil mengucapkan terima kasih kepada Amir.
"Saya ada hadiah untuk awak juga... sweater MIT. Baru saja saya beli semalam di co-op." Kata Amir kepadaku. Lalu memberitahuku bahawa baju panas tersebut ada disimpannya di dalam beg pakaiannya yang besar itu.
Aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Di dalam hati, benak aku menanyai diriku kenapa aku rasa begitu dekat kepadanya. Jantungku berdegup kencang setiap kali dia menoleh memandangku. Sesuatu yang tak pernah aku rasakan sebelum ini mula menganggu diriku ini. Aku keliru. Kerana aku tak sepatutnya berperasaan begini terhadapnya. Kerana aku baru sahaja mengenalinya!
Kami tiba ti Brompton Square, lalu berhenti di rumah yang telah dinyatakan oleh Amir kepada pemandu teksi. Dari luar aku dapat lihat bahawa rumahnya itu memang kelihatan mewah. Kawasan tersebut memang agak ekslusif, kerana terletak agak dekat dengan Harrods, Hyde Park, dan Royal Albert Hall, malah dia akan berjiran dengan Royal Trinity Church yang terletak hanya di belakang apartmentnya itu.
Amir telah mengeluarkan sejambak anak kunci dari beg yang telah disandangnya. Dia membuka pintu rumahnya lalu menjemput kami masuk de dalam rumah.
" Sebenarnya, Ini rumah datuk saya. Dia beli rumah ini kira-kira dua puluh tahun yang lepas. Sebab pada masa itu dia selalu berulang-alik ke London." Beritahu Amir sambil meletakkan begnya di dalam rumah.
"Sekarang dah jadi milik kau lah?" Tanya Majid.
"Ya... tapi dengan syarat aku kena balik ke Malaysia bila tamat pengajian aku di Oxford nanti."
"Jadi kau nak balik ke?"
"Saya terpaksa tinggalkan New York, samada aku suka ataupun tidak." Ujar Amir sambil menarik nafasnya.
"Kau tinggalkan New York?" Majid mentertawakannya. "Dulu, keluar dari Manhattan ke Bronx pun kau tak pernah... dan sekarang kau mahu pindah dari New York ke Malaysia? Kau ingat... datuk kau kena paksa kau pulang ke Malaysia masa kau 16 tahun, baru lah kau nak pulang sekejap. Kalau tak--"
"Alah... tu cerita lama... sekarang saya dah besar. Dah boleh buat keputusan sendiri." Suaranya tegas.
"Hmmm..." Getus Majid separuh percaya.
"Rumah ini perlu dibersihkan... dah bertahun rumah ini tak dijaga." Katanya menukar arus perbualan.
Aku bersetuju dengan pendapatnya. Aku memberitahunya bahawa aku tak keberatan untuk menolongnya mengemaskan rumahnya ini.
Amir menjemput kami masuk ke ruang tamu rumahnya. Aku dapati rumah tersebut telah diubahsuai sedikit. Tidak terdapat banyak perabot-perabot Inggeris di dalamnnya. Yang banyak hanyalah perabot-perabot moden tetapi langsung menyerikan lagi suasana rumah.
"Lukisan dari Rothko yang telah dilukisnya pada tahun 1969. Di beli di Sotherby di New York pada tahun 1983 oleh datuk saya semasa dia melawat saya di sana." Jelas Amir tatkala mataku terpaku kepada sebuah lukisan berwarna oren yang di letak di dinding di ruang tamu. "Pak Su saya dulu bersekolah di Royal College of Art. Dia minat dengan perabot-perabot moden dari Le Corbusier, Mies Van de Rohe dan Arne Jacobsen. Sebab itulah dia kumpul kesemua perabot-perabot moden ini. " Sambungnya, apabila melihatku memerhatikan susunan beberapa perabut di dalam bilik itu.
Aku berjalan ke arah sekumpulan gambar-gambar lama yang telah di letak di atas meja di belakang piano.
"Itu pula gambar-gambar lama datuk saya semasa dia belajar di London. " Jelas Amir. Kini perhatiannya tertumpu dengan sepenuhnya kepada aku. "Ini gambar dia bersama Aminuddin Baki di Trafalgar Square. Ini pula gambarnya dengan beberapa orang bekas pelajar dari Raffles College di Singapura yang pada masa itu sedang belajar di UK. Dan ini datuk saya sedang bergambar dengan seniornya pada masa itu, Mohamed Suffian Hashim."
"Tun Suffian... bekas Lord President Malaysia yang paling aku kagumi, " Sampuk Majid dari jauh. Dia mula berjalan ke arah kami.
Aku merenung ke dalam gambar-gambar yang telah dinyatakannya itu.
"Itu pula Lee Kuan Yew semasa dia muda-muda dulu," Sebut Majid sambil jarinya menuding ke arah seorang lelaki muda berbangsa Cina yang sedang duduk berdekatan dengan Dato' Abdullah. "Mungkin pada masa itu mereka sibuk berbincang sesama mereka tentang masa depan dan tentang kemerdekaan Malaya dari pihak British."
"Seperti mana kau yang selalu sahaja bicara tentang kes Anwar dengan aku..." kata Amir. Cerita tentang Anwar baru sahaja mendapat perhatian kami sejak akhir-akhir ini. Perkataan reformasi mula di sebut-sebut di kalangan pelajar di UK, terutamanya di mulut Majid.
"Aku malas nak berbual lagi pasal benda ini dengan kau, sebab bapak kau... datuk kau semuanya kroni." Kata Majid dengan nada bersenda. Amir membalas kata-katanya itu dengan senyuman.
"Kau kata pak su ada koleksi lukisan-lukisan awal bapa Zaha... mana dia?" Tanya Majid.
"Ada di dalam bilik perpustakaan." Jawab Amir lalu terus berjalan ke bilik sebelah.
Ternyata dekor bilik ini tidak diusik, kecuali pada bahagian dindingnya yang ada diletakkan beberapa keping lukisan yang dinyatakan olehnya tadi. Perabut-perabut Inggeris berwarna polos membuatkan bilik ini nampak seperti sebuah perpustakaan lama zaman Victoria.
Majid menutup mulutnya dengan tangan kirinya mungkin kerana terlalu
kagum dengan lukisan-lukisan oleh bapa Zaharudin.
"Ini siri-siri lukisan dari Malekula." Kata Majid dengan ghairah. "Sukar untuk mencari lukisan-lukisan siri ini sekarang!"
"Memang sukar untuk mencarinya, tapi Pak Su aku kenal dengan agen yang pakar mencari lukisan-lukisan siri ini." Jelas Amir sambil menoleh kepadaku. "Awak dapat lihat yang semua wajah yang dilukis menoleh ke tempat lain kecuali seorang?" Tanya Amir kemudian kepadaku.
Aku melihat kepada semua lukisan-lukisan di hadapanku yang telah di lukis tatkala bapa dan ibu Zaharudin tinggal di pulau Malekula, yang terletak di selatan lautan Pasifik. Lukisan-lukisan tersebut telah dilukisnya pada sekitar awal tahun 70-an.
"Ya, semua menoleh ke arah lain, kecuali seorang wanita. Ibu Zaha..." Kataku perlahan sambil memandang tepat kepada Amir.
Lama juga Amir memandangku sebelum dia mengembalikan perhatiannya kepada lukisan-lukisan oleh Iskandar Salleh. Dia seolah-olah ingin memberitahu ku sesuatu. Tetapi perkataan tersebut masih disimpannya di dalam hati.
Dia diam. Aku pun sama diam.
***
Pada malam itu, aku masak untuk Majid dan Amir. Kami telah ke Harrods untuk membeli keperluan makanan. Kalau boleh, mahu sahaja aku sarankan kepada Amir untuk ke tempat lain seperti di Selfridges dan di Mark & Spenser yang jauh lebih murah harga makanannya. Tapi katanya, dia terlalu penat untuk berjalan jauh.
Amir ternyata suka kepada masakanku. Majid pula tak habis-habis memberitahunya bahawa dia adalam peminat nombor satu masakanku.
"Untung sapa yang jadi laki kau tu nanti," ujar Majid sambil mengunyah daging rendang yang telah aku masak. Aku tersenyum sahaja melihatkan telatahnya itu. "Tengku Salina kau tu pandai masak tak?" Tanya Majid kemudian kepada Amir. Cara dia mengucapkan nama 'Tengku' seperti dia meluat benar dengan pangkat yang diberikan oleh mereka yang berketurunan dari raja-raja Melayu itu.
"Tak, tapi kalau speghetti dia pandai lah." Jawab Amir.
"Pompuan apa namanya ni tak pandai masak?" Tegur Majid.
Amir mengukir senyuman sambil memandang ke arahku.
"Esok lepas korang hantar aku ke Gatwick, kau nak ke mana?" Tanya Majid. Dia mengelap mulutnya dengan kain napkin.
"Mungkin balik dulu ke sini sebelum ke Kensington Garden pada petang harinya. Rumah ini perlu dibersihkan sikit sebelum aku boleh ke Paris."
Aku setuju dengan pendapatnya itu, kerana menurutku, aku tak tahan melihat habuk yang telah terkumpul dengan sebegitu lama di rumahnya itu. Kerana aku alah kepada habuk. Mataku mula merah dan hidungku mula berhingus kerana tak tahan kepada habuk-habuk yang telah lama terkumpul. Lagipun memang aku benci tidak menyiapkan kerja-kerja yang telah aku janjikan.
Pada malam itu kami bertiga tidur di atas katil yang sama. Majid seperti biasa akan berdengkur tatkala tidur. Banyak kali aku terpaksa menolaknya supaya dia akan tidur mengiring. Biar kurang dengkurnya itu.
Walaupun bilik gelap gelita. Aku dapat merasakan bahawa Amir sedang memerhatikanku. Aku tak tahu kenapa. Aku terus tidur kerana kepenatan...
Bersambung...